December 21, 2009

Dasar bersama Pakatan sasar Putrajaya

Pakatan Rakyat mempertingkatkan usahanya untuk menguasai Putrajaya dengan mengumumkan dasar bersama Pakatan yang menjanjikan pembaharuan segera dan kesaksamaan.

Sebagai respons kepada musuh politiknya, Barisan Nasional, dasar bersama itu berjanji untuk mengurangkan dasar-dasar yang berasaskan kaum dan menggubal akta hubungan kaum dan akta peluang saksama serta dasar-dasar lain yang berasaskan merit seperti pemberian biasiswa kerajaan.

Ia turut menjanjikan layanan istimewa kepada Sabah dan Sarawak - di mana pengaruh Pakatan tidak kuat - dengan menjanjikan akses kepada royalti minyak serta berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sudah lama berlanjutan.

Pakatan juga berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyelesaikan isu-isu membabitkan isu pendatang haram, yang didakwanya tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

Sokongan kuat dari dua negeri Malaysia Timur itu amat penting dalam usaha Pakatan untuk menguasai Putrajaya dalam pilihanraya umum kerana satu perempat jumlah kerusi parlimen adalah dari sana.

Pakatan juga berjanji untuk menangani isu-isu agama yang selama ini telah menimbulkan pergeseran antara parti Islam PAS dan parti sekular DAP.

Di samping itu, Pakatan juga berjanji untuk mewujudkan satu mekanisme yang komprehensif untuk menangani kes-kes di mana berlaku bertindihan antara undang-undang sivil dan Syariah.

Untuk tujuan itu, sebuah suruhanjaya diraja akan ditubuhkan untuk mengkaji secara mendalam isu-isu yang berkaitan dengannya.

Agihan ekonomi negeri

Di peringkat institusi pula, Pakatan berjanji untuk memastikan kebebasan dan ketelusan sepenuhnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi memulihkan keyakinan rakyat terhasdap sistem kehakiman.

Pembaharuan lain yang dijanjikan termasuk menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Petronas dan institusi-institusi kerajaan yang lain dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen.

Ini termasuk mendapatkan kelulusan Parlimen bagi pelantikan jawatan penting kerajaan seperti ketua polis negara, peguam negara, pesuruhjaya SPRM dan ketua audit negara.

Mengenai ekonomi, Pakatan bercadang mendesentralisasikan pengurusan ekonomi negara bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan taburan pembangunan yang seimbang.

Cadangan ini termasuk pengagihan kuasa pentadbiran dan ekonomi dan pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur kepada kerajaan negeri.

Dasar Pakatan Rakyat itu merangkumi empat perkara, iaitu demokrasi telus dan tulen; memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil; keadilan sosial dan pembangunan insan; dan hubungan persekutuan-negeri dan dasr luar negara.

Muafakat baru untuk Malaysia

Pakatan Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijaksanaan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.

Agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan "demokrasi otoritarian". Ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tergelincir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.

Ketidakadilan ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campurtangan politik dan kepentingan perniagaan.

Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan menginjak hak rakyat.

Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.

Malah kami yakin, kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.

Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil, terutama bagi kelompok miskin dan terpinggir.

Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yan ghanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golonga miskin di Malaysia tanpa mengira kaum.

Berdasarkan latar belakang ini kami mengajak rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.

December 18, 2009

Bukti Keprihatinan Kerajaan Selangor



Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha menyelesaikan masalah rumah terbengkalai di Taman Lestari Putra, Bandar Putra Permai yang setelah sekian lama terbengkalai sejak lima tahun lalu.

Kerajaan Negeri begitu simpati dengan nasib golongan rakyat apabila hampir pemilik rumah itu adalah daripada dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan orang kampung.

December 14, 2009

Kritikan Pengundi : Kepimpinan Yang Hambar

Setelah hampir empat penggal saya menjadi pengundi bermula dengan BN memerintah negeri Selangor kemudian Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran dan pemerintahan negeri yang terkaya di Malaysia ini. Pada peringkat awal pentadbiran kita melihat Pakatan Rakyat begitu optimis dan realistik dalam melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat sebelum PRU 12 lalu. Akan tetapi setelah masa berlalu hampir 2 tahun, telahpun nampak beberapa kepincangan dan kelemahan khasnya diperingkat DUN dikawasan saya mengundi ( Puchong ).

Pakatan Rakyat khasnya PAS dan PKR dilihat begitu lemah dalam menangani masalah rakyat,.. PAS dan PKR dilihat begitu asyik dengan masalah dalaman parti tersebut , sehingga telah mengabaikan masalah dan juga rungutan rakyat.

Sebagai contoh masalah didalam PAS Kawasan Puchong adalah,.. ahli-ahli PAS kini telah merasa kecewa dengan kepimpinan baru mereka yang telah menang pada pemilihan yang lalu,..terutamanya mereka tak berpuas hati dengan YDP yang baru dilantik..

Yang DiPertua PAS kawasan Puchong yang baru dilantik adalah bukan penduduk asal di Puchong, beliau adalah berasal dari P.Pinang dan baru sahaja beberapa tahun menetap di Puchong..dan didapati Beliau merupakan seorang yang bermasalah. Bagaimana seorang yang banyak mempunyai masalah dan juga telah meninggalkan anak dan isteri di kampung tanpa sebarang sebab boleh dipilih sebagai seorang Pemimpin terlebih lagi pemimpin parti PAS.. banyak lagi yang ahli Pas tahu tentang latar belakang YDP ini akan tetapi saya tidak mahu dedahkan disini,. hanya sekadar pemimpin pusat tahu bahawa PAS kawasan Puchong sedang mengalami masalah yang serius.

Ini belum ditambah lagi dengan bagaimana cara beliau boleh menang dalam pemilihan PAS yang lalu,..semua ini sudah bukan rahsia lagi bagi ahli-ahli Pas Puchong...pada peringkat awal pengiraan YDP yang sekarang ini telah tewas kepada pencabarnya sebanyak 7 undi,..akan tetapi setelah pasukan beliau mengira semula didapati beliau menang dengan kelebihan 7 undi dari pencabarnya.. terlalu banyak kekotoran politik yang telah beliau lakukan di Puchong ini,... dan kini Beliau pun tidak pernah turun padang untuk mendekatkan diri kepada para pengundi,..jauh sekali untuk menabur bakti dan budi kepada masyarakat.

Kepada pemimpin PAS pusat siasatlah segera perkara ini,..saya tidak mahu rakyat akan merubah fikiran mereka daripada terus menyokong Pakatan Rakyat,.singkirkanlah mereka-mereka yang bertopengkan serban di kepala,berjubahkan kain putih di badan akan tetapi perangai tidak menunjukan Islam..

Setakat ini yang saya tahu PAS diperingkat Kawasan Puchong,..seluruh AJK yang terpilih adalah kroni kepada YDP ini,.. tak percaya,..? siasatlah... dan YDP yang baru ini sedikitpun tidak ada rasa hormat terhadap orang-orang lama dalam Pas di Puchong , mereka begitu Ego dan sombong seolah-olah hanya kumpulan mereka sahaja yang mampu mentadbir.

Begitu juga halnya dengan PKR di Puchong,...umpama anak kehilangan ibu.. begitulah nasib ahli-ahli PKR di Puchong. Ini disebabkan oleh kepimpinan yang lemah diperingkat Cabang yang diketuai oleh Y.B.Yaacob Sapari.. PKR Puchong kini umpama telur dihujung tanduk.

Y.B.Yaacob Sapari merupakan ketua Cabang PKR disini,.akan tetapi beliau telah dikelilingi oleh insan-insan yang tamak haloba dan UMNOIS yang patah hati..dan mereka bersarang di kawasan Sri Serdang,. secara sedar atau tidak kini Y.B Yaacob lebih mengambil perhatian terhadap kawasan Sri Serdang dan telah mengabaikan ahli-ahli PKR di Puchong,.. walhal beliau adalah ketua PKR Cabang Puchong..

Akhir sekali bukannya saya ingin memburuk-burukan sesiapa melalui artikel ini, hanya sekadar mengingatkan kepada Pemimpin Pakatan Rakyat diperingkat Negeri mahupun Pusat agar lebih berhati-hati dan memperbaiki segala kekurangan...Turunlah kebawah.... siasatlah sendiri.. buatlah perkiraan dan pertimbangan supaya rakyat tidak jemu dengan muak dengan permasalahan ini..

Ingatlah kepada Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ubahlah sikap sebelum rakyat mengubah kerusi anda,...

JIKA KEPALA MENCECAH LANGIT, JANGAN LUPAKAN KAKI DI BUMI

December 13, 2009

Menjelang Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat

19 Disember ini bakal menjadi sejarah penting perkembangan politik negara ini apabila Pakatan Rakyat akan menganjurkan konvensyen pertamanya.

Ia bagi menandakan pergabungan secara rasmi parti-parti PAS, PKR dan DAP dalam satu parti gabungan yang bernama Pakatan Rakyat (PR). PR telah difailkan pendaftarannya oleh enam pemimpin kanan ketiga-tiga parti itu dan kini menunggu ianya diterima dan disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Pendaftaran ini dibuat selepas Ketua Pengarah Pendafatran Malaysia mengakui bahawa pihaknya tidak ada sebarang halangan untuk ketiga-tiga parti itu didaftarkan di bawah satu gabungan.

Padahal sebelum itu, ia telah menjadi halangan utama mereka bergabung secara rasmi. Ini kerana, mengikut peraturan yang ada, tiga parti tidak cukup untuk membolehkan mereka membentuk satu parti gabungan sebagaimana Barisan Nasional.

Konvensyen pertamanya minggu depan akan meletakkan politik Malaysia maju setapak ke hadapan. Ini kerana, ia akan membuka satu lembaran baru ke arah sistem dua parti di negara ini. Rakyat bakal ada pilihan yang seimbang antara pemerintah yang ada sekarang, Barisan Nasional (BN) atau gabungan parti baru, Pakatan Rakyat (PR).

Konvensyen pertama PR akan diraikan secara besar-besaran. Ia melambangkan satu kemunculan kuasa baru dalam politik negara.

"Kita buat umpama kenduri. Kita mahu seramai mungkin orang datang ke kenduri kita dan untuk itu kita akan membuat persiapan terbaik untuk kenduri ini," kata Datuk Salehuddin Hashim, Setiausaha Agung PKR yang juga Pengarah Konvensyen ini.Dalam konvensyen ini, semua pemimpin kanan ketiga-tiga parti yang bergabung dijangka berucap. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz akan memulakannya dengan doa untuk keberkatan majlis dan gabungan rasmi tiga parti politik Malaysia ini.

Ia akan diikuti dengan ucapan para pemimpin ketiga-tiga parti dan juga peserta konvensyen ini. Setiap parti dijangka akan menghantar 500 pemimpin utama mereka menjadikan ia bakal disertai oleh 1,500 perwakilan dari seluruh negara.

Para penyokong juga dijangka akan memenuhi Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, tempat berlangsungnya konvensyen ini.Di majlis ini, logo Pakatan Rakyat akan diperkenalkan secara rasmi dan dijelaskan rasionalnya (Walaupun ia sudah diperkenalkan kini)."Kita pilih warna oren, iaitu warna kita bersama.

Bukan biru muda PKR, bukan merah DAP dan bukan hijau PAS," kata Salehuddin."Logo Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama menggambarkan ketiga-tiga entiti, iaitu Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (Democratic Action Party/DAP) berpakat dan bermusyawarah dalam semangat bersepakatan untuk memperjuang, menjaga dan memelihara konsep kenegaraan Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan 1957, yang dilambangkan dengan bunga raya berkelopakkan lima kumpulan bangsa menjunjung perlembagaan berteraskan lima prinsip Rukun Negara. Warna oren melambangkan api dan semangat juang yang sentiasa membara sesama ahli parti dalam Pakatan Rakyat," beritahu pihak yang merangka logo ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Penaja yang mendaftarkan Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim telah mencadangkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dilantik sebagai ketua atau penasihat atau spiritual leader pertama Pakatan Rakyat.

Dalam masa yang sama, Datuk Seri Anwar dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri Pakatan Rakyat.

Namun, sehingga sekarang pada dasarnya Pakatan Rakyat bersetuju, orang yang memimpin gabungan ini adalah pemimpin yang memimpin parti yang mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen.

Sekarang ini, PKR maka pemimpin mereka adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.Dan sehingga kini nampaknya, isu siapa yang memimpin Pakatan Rakyat tidak akan menjadi isu dalam konvensyen mereka yang pertama ini.Persoalannya kini, sejauh mana kuatnya gabungan parti baru ini selepas Barisan Alternatif (BA) yang ditubuhkan bersama antara PAS, DAP dan lain-lain parti sebelum ini hancur. Mungkin menyedari hakikat inilah, Pakatan Rakyat didaftarkan.

Jika kata sepakat berjaya dicapai dalam konvensyen ini, mereka akan mempunyai logo yang sama dalam pilihan raya umum akan datang.Ketika itu, rakyat Malaysia akan mempunyai pilihan yang jelas, BN yang sudah lebih 50 tahun memerintah negara atau Pakatan Rakyat yang memberikan tawaran untuk menjadi parti alternatif rasmi kepada mereka.

November 27, 2009

BUBAR SPRM DAN WUJUDKAN ORGANISASI ANTI RASUAH BARU DI BAWAH KUASA PARLIMEN

Angkatan Muda Keadilan ( AMK ) mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibubarkan berdasarkan kegagalan dan prestasi merosot badan tersebut. Bukan sahaja Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan seharusnya meletakkan jawatan tetapi badan tersebut iaitu SPRM wajar dibubarkan .
Malah amat memalukan Malaysia kini berada di kedudukan ke-56 daripada 180 negara yang mana skor untuk indeks rasuahnya hanyalah 4.5 mata daripada 10 mata. Tahun lalu Malaysia berada di kedudukan ke-47 dengan 5.1 mata.
Malah Malaysia berkongsi nombor 56 dengan 4 buah negara iaitu Latvia , Namibia , Samao dan Slovakia

Terbukti berdasarkan Jadual di atas adalah kegagalan SPRM ( dulu BPR) yang berada masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri apabila menjunam 9 anak tangga daripada tahun 2008 . Sebelum ini rakyat memberikan keyakinan apabila berlaku perubahan daripada Badan Pencengahan Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta berlakunya pindahan akta , organisasi ini akan menjadi lebih efisyen , berintegriti , profesional , telus dan adil . Tetapi menjadi semakin parah dan Indeks Persepsi Rasuah oleh TI adalah bukti kegagalan SPRM dan SPRM wajar dibubarkan .

Kematian dan pembunuhan Teo Beng Hock yang melibatkan SPRM menjadikan integriti dan kredebiliti SPRM jatuh merudum di mata rakyat . Malah sikap pendakwaan terpilih oleh SPRM menjadikan badan ini sudah tidak dihormati oleh rakyat Malaysia .
Selagi SPRM masih berada di bawah kuasa Perdana Menteri , selagi itulah peranan dan fungsi SPRM tidak akan dicapai lebih-lebih lagi SPRM dilihat sebagai ‘penyelamat’ pemimpin UMNO / BN .
Laporan yang berintegriti dan berautoriti seperti Laporan Ketua Audit Negara dipandang ringan dan bisu oleh SPRM kerana ianya melibatkan pemimpin UMNO/BN dan pegawai-pegawai kerajaan di peringkat Kementerian dan negeri . Ini meletakkan SPRM sebagai penyelamat kepada pemimpin UMNO /BN dan para perasuah dan penyeleweng yang terus merompak hasil negara dan wang rakyat . SPRM terus dikawal dan dipanduselia oleh Perdana Menteri dan UMNO/BN . Malah kes-kes yang berprofile tinggi, SPRM menjadi pem’bersih’ walaupun kes rasuah dan penyelewengan tersebut terang lagi bersuluh .
Kes-kes seperti PKFZ tidak terlalu penting bagi SPRM walaupun ianya adalah merupakan skandal terbesar dalam negara . Serangan SPRM terhadap negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat begitu memberangsangkan walaupun hanya sekadar tulisan daripada blog yang tidak pasti kesahihannya . Terus disiasat dan diambil tindakan oleh SPRM . Tetapi kes-kes yang dilakukan oleh pemimpin UMNO termasuk Perdana Menteri sediri di’buta,pekakdanbisu’kan sahaja oleh SPRM walaupun telah disahkan bukti tetapi dibakul sampahkan oleh SPRM . Semua laboran-laporan rasuah , penyelewengan dan salahguna kuasa yang dibuat oleh AMK tiada sebarang tindakan .
Justeru , AMK mencadang dan mendesak agar SPRM dibubarkan dan ditubuhkan satu organisasi anti rasuah yang bebas , telus , adil dan profesional serta diletakkan dibawah tanggungjawab parlimen dan bukan lagi Jabatan Perdana Menteri .
Kegagalan ini juga adalah merupakan kegagalan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri . Adalah memalukan Malaysia adalah lebih teruk indeks rasuah daripada negara Afrika selatan .

SELAMATKAN MALAYSIA!