May 20, 2010

Judi, PERKASA: Najib membisu

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini enggan mengulas berhubung keputusan kerajaan memberikan lesen judi sukan supaya pertaruhan dapat dibuat menjelang kejohanan bolasepak Piala Dunia yang bermula Jun ini.

"We are not going to talk about that (Kita tidak akan membincangkannya)," kata Najib kepada wartawan selepas upcara pecah tanah bangunan baru Utusan Malaysia hari ini.

Perdana Menteri juga sekali lagi mengelak menjawap soalan berhubung dakwaan MCA bahawa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) punca Barisan Nasional tumbang di kerusi pilihan raya kecil parlimen Sibu, Ahad lalu.

"It's a whole (bunch) of reasons, cannot just ... ok, never mind lah (Banyak sebabnya, tak boleh hanya ...tak apalah)," katanya dengan ringkas.

Isnin lalu, MCA mempersalahkan PERKASA atas kekalahan SUPP di Sibu dengan berkata 'hubungan kabur' BN, khususnya Umno dengan kumpulan pelampau itu punca masyarakat Cina kurang selesa.

PERKASA juga pernah berkata Umno harus meninggalkan masyarakat Cina yang 'tidak berterima kasih' dan menghentikan peruntukkan kepada golongan minoriti berkenaan yang mengundi pembangkang.

Umno tuntut kerusi Merotai

Umno bahagian Kalabakan mendesak pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) supaya mengembalikan kerusi dewan undangan negeri Sabah kawasan Merotai kepada Umno.

Ketuanya, Datuk Abdul Ghapur Salleh, berkata ini kerana Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah yang mewakili kawasan berkenaan sejak dua penggal lalu gagal membawa sebarang perubahan ke kawasan berkenaan.

"Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dalam hal ini. Mana-mana kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu dan Islam, ia harus diberi kepada Umno," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian Kalabakan hari ini.

Abdul Ghapur yang juga Ahli Parlimen Kalabakan, berkata keputusan membuat desakan itu dicapai pada mesyuarat hari ini.

Kerusi Merotai kini diwakili Pang Yuk Ming dari LDP, satu daripada parti komponen BN di Sabah.

Abdul Ghapur berkata, kawasan Merotai mempunyai 80 peratus pengundi Melayu/Islam berdaftar dan tidak ada sebab mengapa kawasan berkenaan tidak boleh diberikan semula kepada Umno.

"Sekiranya pucuk pimpinan BN tidak mempedulikan desakan kami, tidak ada jaminan calon BN akan menang pada pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.

Demontrasi seluruh negara bantah judi esok

PAS menganjurkan sekurang-kurangnya lima demonstrasi di pelbagai tempat di seluruh negara esok bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan.

Perhimpunan yang digerakkan Dewan Pemudanya itu akan diadakan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Daripada kelima-lima negeri itu, demonstrasi di Terangganu dijangka terbesar, melibatkan sekurang-kuranngnya 3,000 orang.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dijadual akan turut serta di perkarangan Masjid Pengedang Baru, Kuala Terengganu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Pemuda PAS Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya tidak memohon permit untuk perhimpunan itu kerana ia akan dibuat "secara aman di dalam perkarangan masjid".

Menurutnya, demontrasi itu dijangka turut dihadiri kepimpinan Pemuda daripada parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Di Perak pula, Naib Ketua Pemuda PAS negeri Salman Salleh berkata kira-kira 2,000 orang dijangka menghadiri demontrasi di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh bagi membantah keputusan kerajaan itu.

Umno juga sertai

"Semua pertubuhan termasuk Umno, Pemuda Pakatan Rakyat dan NGO bersama kita untuk menzahirkan bantahan pemberian lesen judi," katanya.

Menurut Salman, demonstrasi itu akan diketuai oleh ketua Pemuda PAS negeri, Zawawi Hassan.

Di Negeri Sembilan, dijangka 1,500 orang akan menyertai demontrasi di Masjid Negeri Sembilan dekat Seremban selepas solat Jumaat.

Ketua Pemudanya Khairil Anwar Mohd Wafa berkata pihaknya turut menjemput pemimpin Pemuda Pakatan yang bukan Islam, termasuk Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

"Kita tidak pohon permit, kalau hendak tangkap, tangkaplah. Kita buat perhimpunan aman. Dulu masa (demonstrasi) membantah (firma perundin) Apco Worldwide tiada tangkapan pun," kata Khairil Anwar.

Di Pulau Pinang pula ketua Pemuda PAS Mohd Yusni Mat Piah berkata pihaknya menganjurkan demontrasi esok di hadapan Masjid Permatang Gajus, Permatang Pauh selepas solat Jumaat.

Perhimpunan aman tersebut dijangka seramai 1,000 penyokong Pemuda Pakatan, tambahnya.

Demonstrasi di 22 kawasan PAS

Di Selangor pula keadaan agak berbeza apabila tiada demonstrasi di peringkat negeri dianjurkan PAS.

Ketua Pemudanya Hasbullah Mohd Ridzwan berkata Pemuda PAS negeri telah mengarahkan 22 Pemuda kawasan mengadakan demontrasi itu sama ada esok atau Jumaat depan.

"Setakat ini Pemuda PAS kawasan Hulu Langat akan mengadakan demontrasi membantah keputusan kerajaan itu esok," katanya.

Hasbullah berkata, dijangka kira-kira 200 orang bagi setiap kawasan akan hadir dalam demontrasi itu.

Menurut pemimpin negeri yang dihubungi, kesemua perhimpunan esok dijalankan tanpa memohon permit polis kerana "ia adalah satu perhimpunan aman".

Difahamkan, pembangkang di negeri-negeri lain, Perlis, Kedah, Pahang dan beberapa kawasan di Selangor akan mengadakan demontrasi itu Jumaat hadapan.

Kemuncak kepada siri demonstrasi tersebut akan dilaporkan diadakan pada 3 Julai ini di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

PAS tuntut menteri, mufti bantah judi

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan bantahannya terhadap pengeluaran lesen judi sukan kepada Berjaya Group Sdn Bhd.

"Semalam beliau (Jamil Khir) dengan lantangnya mengeluarkan kenyataan bahawa peguam syarie di mahkamah syariah di negara ini mestilah seorang yang beragama Islam.

"Namun dalam hal judi ini beliau mengambil pendekatan pasif. Di manakah suara lantangnya itu?" soal pembantu ketua pemudanya Herman Samsudeen.

Dalam kenyataan hari ini, Herman juga mendesak semua mufti di negara tampil membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen bola sepak itu dan jangan "menutup mata dan menyembunyikan ilmu mereka".

"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berharap para mufti dan golongan yang faham agama bangkit menentang kezaliman akhlak ini. Judi adalah haram dan ianya bukan hanya haram untuk mereka yang beragama Islam (semata-mata), tetapi kepada semua manusia," katanya.

"Walau
pun mereka bekerja dengan kerajaan Malaysia yang mana perdana menteri dan menteri kewangannya serta kabinetnya bersatu menghalalkan judi, tetapi para mufti dan mereka yang faham agama harus bangkit menentang dan tidak mentaati keputusan mungkar itu."

Herman menambah, ekonomi negara ini pasti akan bertambah berkali ganda "jika sumber yang berkat digunakan" bagi membangunkannya.

"Menghapuskan judi juga sekali gus akan memisahkan pendapatan dan gaji para menteri dan mufti yang dibayar kerajaan daripada sumber-sumber yang haram," katanya.

Selcat masih tunggu dokumen KSSB

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) akan menyelidik terlebih dahulu dokumen berkaitan sebelum memutuskan memanggil mana-mana individu untuk pendengaran awam pada 2 hingga 4 Jun depan.

Seorang anggota jawatankuasa itu memberitahu, pihaknya akan bermesyuarat sekali lagi bagi memutuskan perkara tersebut sebelum pendengaran awam dilangsungkan.

"Buat masa ini kami tidak boleh memutuskan siapa yang akan dipanggil. Dokumen-dokumen akan dikaji terlebih dahulu. Selepas itu, barulah kami boleh tahu siapa yang hendak dipanggil.

"Lagipun kami belum dapat dokumen-dokumen dari KSSB (Kumpulan Semesta Sdn Bhd) dan beberapa lagi dokumen yang berkaitan," kata Haniza Talha ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pada 12 Mei lalu, ahli parlimen Kapar S Manikavasagam dilaporkan membuat laporan polis, mendakwa tiga pegawai kanan KSSB terbabit dalam operasi pelombongan pasir secara haram.

Dalam laporan polisnya, Manikavasagam antara lain mendakwa, tiga pegawai terbabit bertanggungjawab terhadap kerugian sebanyak RM10 juta akibat salah urus dan tindakan mengeluarkan permit kepada pengusaha lombong pasir haram.

Selcat - satu jawatankuasa bawah DUN Selangor - akan mengadakan sesi pendengaran awam terhadap tuduhan penyelewengan dalam KSSB, sebuah syarikat milik kerajaan negeri.

Pendengaran awam itu akan diadakan di Bilik Gerakan, Tingkat 2, Bangunan Annex, DUN Selangor dari jam 10 pagi hingga 1 tengahari.

Sementara itu, Haniza yang juga ADUN Kampung Medan menegaskan, fungsi Selcat bukan untuk menyiasat amalan rasuah yang dilakukan oleh individu tertentu.

"Sebenarnya, kami menyiasat sistem kerajaan yang membawa kepada ketidakcekapan yang berlaku supaya kami boleh kenalpasti mana-mana kelemahan yang ada di dalam sistem kerajaan negeri untuk diperbaiki," katanya yang juga timbalan speaker Selangor.

Timbalan presiden PKR saman Utusan RM10 juta

Timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali hari ini memfailkan saman RM10 juta terhadap Utusan Melayu di MahkamathTinggi Kuala Lumpur.

Syed Husin, yang baru-baru ini dilantik sebagai senator oleh kerajaan negeri Selangor juga menamakan, pengarang akhbar milik Umno itu, Mohd Hassan Mohd Noor dan bekas pemimpin PKR Zamil Ibrahim sebagai defendan.

Dalam kenyataannya, Syed Husin mendakwa artikel pada 6 Mac, Utusan Malaysia yang berjudul 'RM500,000: Syed Husin dicabar lapor polis' adalah berunsur fitnah.

Artikel berkenaan yang dipetik berdasarkan sebuah blog mendakwa Syed Hussein telah dibeli oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dibayar RM500,000 bagi membubarkan Parti Rakyat Malaysia, yang mana beliau adalah presiden dan kemudiannya menyertai PKR.

Syed Husin mendakwa Zamil pada atau sebelum 6 Mac berckap kepada seorang wartawan Utusan Malaysia, dan artikel berkenaan membayangkan timbalan presiden PKR itu bersalah dengan kegiatan rasuah.

Beliau juga mendakwa artikel berkenaan membawa maksud bahawa dia telah melakukan kesalahan jenayah yang membawa kepada hukuman penjara.

Artikel itu juga dikata mengambarkan seolah-olah Syed Husin seorang hiprokit dan tidak layak menjadi ahli politik, menikam rakan-rakan parti, tidak berprinsip dan tidak layat memegang jawatan timbalan presiden PKR.

Dia juga mendakwa penerbitan artikel itu telah memburukkan nama baik, kredit dan reputasinya.

Selain menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta serta ganti rugi teladan, beliau turut memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan lebih lanjut kata-kata fitnah lisan dan libel yang serupa terhadapnya, kos dan relif lain dan/atau selanjutnya yang dianggap wajar dan saksama oleh mahkamah.