May 20, 2010

Umno tuntut kerusi Merotai

Umno bahagian Kalabakan mendesak pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) supaya mengembalikan kerusi dewan undangan negeri Sabah kawasan Merotai kepada Umno.

Ketuanya, Datuk Abdul Ghapur Salleh, berkata ini kerana Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah yang mewakili kawasan berkenaan sejak dua penggal lalu gagal membawa sebarang perubahan ke kawasan berkenaan.

"Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dalam hal ini. Mana-mana kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu dan Islam, ia harus diberi kepada Umno," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian Kalabakan hari ini.

Abdul Ghapur yang juga Ahli Parlimen Kalabakan, berkata keputusan membuat desakan itu dicapai pada mesyuarat hari ini.

Kerusi Merotai kini diwakili Pang Yuk Ming dari LDP, satu daripada parti komponen BN di Sabah.

Abdul Ghapur berkata, kawasan Merotai mempunyai 80 peratus pengundi Melayu/Islam berdaftar dan tidak ada sebab mengapa kawasan berkenaan tidak boleh diberikan semula kepada Umno.

"Sekiranya pucuk pimpinan BN tidak mempedulikan desakan kami, tidak ada jaminan calon BN akan menang pada pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya.

No comments: