March 18, 2010

Kenyataan Media: Selangor Tegas Tangani Penempatan Setinggan Warga Asing

Kenyataan Media
17 Mac 2010

Selangor Tegas Tangani Penempatan Setinggan Warga Asing

Kerajaan Negeri Selangor menjelaskan bahawa pengecualian perobohan untuk rundingan hanya untuk rumah setinggan warga Malaysia yang dibina sebelum Jun 2008. Oleh itu, penempatan setinggan warga asing tidak dikecualikan dari tindakan perobohan.

Dakwaan bahawa polisi berunding dengan penduduk setinggan sebelum melakukan perobohan telah mengakibatkan penempatan setinggan warga asing di negeri ini tidak terkawal adalah tidak benar.

Hakikatnya kerajaan negeri telah mengambil langkah untuk merobohkan penempatan setinggan warga asing seperti di Ampang dan Petaling Jaya bagi mencegah masalah sosial dan jenayah.

Atas dasar keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, kerajaan negeri telah memaklumkan kepada pihak-pihak berkuasa tempatan agar mengambil tindakan ke atas penempatan setinggan warga asing.

Pihak berkuasa tempatan juga telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera ke atas sebarang usaha untuk mewujudkan penempatan baru. Adalah lebih rumit untuk mengambil tindakan sekiranya sebuah kampung telah terbina tetapi tindakan mesti diambil juga.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan


Persidangan Anak Muda Kebangsaan 2010

Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan Negeri Selangor menerusi Sekretariat Belia Negeri Selangor (SBNS) akan menganjurkan Persidangan Anak Muda Kebangsaan 2010. Program ini dijangka mengumpulkan seramai 1,000 orang Penggerak Belia Tempatan (PeBT), mahasiswa, pemimpin belia akar umbi, politik serta NGO dari seluruh Malaysia yang akan bersama-sama membincangkan isu-isu kepentingan belia dan negara.

Persidangan ini merupakan acara tahunan SBNS yang akan membincangkan lima fokus utama iaitu 1) Komunikasi , 2) Ekonomi, 3) Sosial, 4) Budaya, dan 5) Politik.

Antara objektif program ini diadakan adalah untuk menimbulkan kesedaran belia terhadap isu-isu kepentingan masyarakat dan negara serta mendapatkan buah ide dan pemikiran pakar-pakar dalam segenap bidang.

YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Dato Menteri Besar Selangor akan merasmikan persidangan ini yang akan dibarisi pengucaptama seperti YB Mohamed Azmin Ali (Ekonomi), YB Khalid Samad (Sosial), YB Tony Pua (Politik), Dr Abu Hassan Hasbullah (Komunikasi) serta panelis seperti YB Nik Nazmi. Nik Ahmad, YB Mujahid Yusof Rawa, YB Liew Chin Tong, Khoo Kay Peng dan ramai lagi yang akan memberi pengisian kepada persidangan tersebut.

Berikut adalah maklumat program :-

Tarikh

:

20 Mac 2010

Perasmian

:

YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM, Dato’ Menteri Besar Selangor

Masa

:

8.00 pagi – 10.00 mlm

Tempat

:

Auditorium, Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)

Mereka yang berminat untuk menyertai persidangan diminta untuk mendaftar menerusi emel sbns@gen-s.com.my, menghubungi 012-3097660 (Raja Mahadi Raja Mahmudin) atau mengunjungi laman web www.gen-s.com.my untuk mendapatkan maklumat tambahan.


Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor
Tingkat 4, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Laman web: www.selangorkini.com.my, www.selangor.gov.my, www.tvselangor.com.
Tel: 03-55447456, Fax: 03-55135068
(Sebarang pertanyaan, sila hubungi Ketua Pegawai Perhubungan Awam Selangor, Ginie Lim 013-6276862)

MAHKAMAH HALANG ANWAR DAPATKAN BAHAN BUKTI

March 10, 2010

MAJLIS PENYERAHAN CD FATWA DR YUSOF AL-QARADHAWI KEPADA PERDANA MENTERI

Hebahan Media
Angkatan Muda Keadilan

9 Mac 2010

MAJLIS PENYERAHAN CD FATWA DR YUSOF AL-QARADHAWI KEPADA PERDANA MENTERI

Perkara diatas adalah dengan segala hormatnya dirujuk.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) diketuai Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin akan menyerahkan satu salinan CD Fatwa Dr Yusof Al-Qaradhawi kepada Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Najib Tun Razak.

Penyerahan tersebut akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 10 Mac 2010 (Rabu)
Masa : 3.00 petang
Lokasi: Pejabat PM, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya

Orang awam dan wakil media KECUALI Utusan Malaysia adalah dijemput untuk hadir ke majlis penyerahan tersebut.

Harap maklum

--
Hasmuzair Hassan
Setiausaha Kerja
Angkatan Muda Keadilan
014-8422155

March 9, 2010

Prestasi Kerajaan Negeri-Negeri Pakatan Rakyat Sepanjang 2 Tahun

Pakatan Rakyat secara tuntas memperlihatkan kerjasama dan muafakat utuh demi memasti serta menjamin kemaslahatan rakyat. Pakatan Rakyat akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang menjamin hak orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Pakatan Rakyat akan terus memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan didasari prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Berdepan dengan masalah perkauman yang meruncing, rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan perpaduan kaum yang semakin jitu dan utuh. Negeri-negeri Pakatan menunjukkan prestasi ekonomi yang memberansangkan jika dibandingkan dengan negeri yang ditadbir Umno-Barisan Nasional.

Selangor:
Negeri Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 6.76 billion pada tahun 2009 dan mencipta sebanyak 20 753 peluang pekerjaan. Dari jumlah pelaburan tersebut, RM 2.752 billion(40.8%) merupakan pelaburan tempatan. Manakala Projek Industri yang diluluskan di Selangor berjumlah 278, ianya merupakan yang tertingi dicatatkan di Negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga mensasarkan enam hingga tujuh peratus pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini daripada penguncupan sebanyak 3.87 peratus tahun lepas.
Selangor juga mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus iaitu sebanyak 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes pada tahun sebelumnya.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran berteraskan Islam sepanjang 2010.Peruntukan ini diberikan kepada SAR yang tidak pernah mendapat sebarang peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran dari Kerajaan Negeri mahupun sumbangan individu.

Pulau Pinang
Pulau Pinang meluluskan sebanyak 104 projek industri(ketiga tertingi). Dasar CAT(daya saing, pertanggungjawaban dan ketelusan)menjadi pemangkin kepada kejayaan Pulau Pinang untuk merekodkan lebihan belanjawan(surplus) sebanyak RM 88 juta berbanding jangkaan defisit sebanyak RM 35 juta(belanjawan 2008)
Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mewujudkan 200 ekar hub pendidikan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul. Pengiktirafan serta bantuan kewangan (pemberian tunai) kepada pelajar terbaik SPM dan STPM serta para huffaz.
Bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat berjumlah RM 97 ribu per sekolah, RM 60 ribu kepada setiap sekolah cina dan RM 63 ribu kepada setiap sekolah tamil. Jumlah keseluruhan ialah RM 11.3 juta

Kedah
Pelaburan adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Kedah telah mencatatkan pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempoh Januari hingga September 2009, dengan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4 juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta.

Kini dengan keluasan 1,000 hektar kerajaan mendapat hasil RM16.7 juta, tidak termasuk cukai per tan metrik bila balak dikeluarkan dari hutan. Sedangkan di bawah pentadbiran umno-bn, dengan keluasan yang sama, hanya mampu mengutip RM3 hinggga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu pertan metrik. Kejayaan ini merupakan hasil dari pelaksanaan dasar yang telus serta tidak berkompromi dengan rasuah.

Kelantan
Semenjak 20 tahun lepas Kerajaan Kelantan secara berterusan dianaktirikan akan tetapi Kelantan tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan. Program Kifalah untuk anak yatim, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya telah menjadi contoh kepada banyak negeri. Begitu juga dengan program Perbadanan Ladang Rakyat yang membantu golongan marhaen, Bandar Baru Tunjung dibina menjadi pusat komersil satelit kepada Kota Bharu. Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih bekalan air daripada Thames Water kepada Air Kelantan. Selain itu PMBK menjadi agensi pelaburan utama negeri yang sebelum ini gagal di bawah pemerintahan BN sebelum 1990. Kerajaan Negeri berjaya menguruskan 20 sekolah agama bantuan penuh kerajaan negeri yang cemerlang dan menjadi saingan kepada sekolah premier di bawah Kementerian Pendidikan. Kehadiran pelbagai syarikat multinasional adalah bukti kuasa beli rakyat Kelantan terus kukuh. Sepanjang 20 tahun pemerintahan ekonomi tempatan dibina secara kendiri tanpa bantuan stimulus dari kerajaan Pusat.

DATO SERI ANWAR IBRAHIM DI MAHKAMAH SYARIAH

Adalah dimaklumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur esok berhubung kes permohonan qazaf. Berikut adalah butirannya:

Masa: 9.00am
Tarikh: Hari Rabu, 10 Mac 2010
Tempat: Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Pejabat Dato Seri Anwar Ibrahim