April 1, 2010

Sidang DUN Perak - Kejutan Jamal Behrang !

Oleh Anak Sengat

Kejutan ker? Sikit pun tak rasa terkejut. Tengok dari 'body language' ketika si Jamal bercakap pun penonton berita yang tonton slot jam 8 dah dapat agak. Dramanya, Jamal ditawar Menteri besar Perak. Senak perut wak gelak beb ! Ganjaran lumayan. Syarat aktifkan keahlian DAP. Kah..kah..kah ! Dasar katak.

Masih dalam tajuk 'tawaran' jawatan Menteri Besar Perak. Nasib baik Jamal tak betul jadi MB Perak, kalau tidak..naya rakyat Perak, kerana ber'MB'kan 'katak'.

Lompat PKR ke DAP pun kira'lompat' apa ? Adoi..Perak negeriku, merata tempat ada 'katak'. Dari selatan Perak(Behrang) hingga ke utara Perak(Bagan Serai) 'katak' merata-rata. Bila 'katak' mula bunyi dalam dewan, hujan pun mariii...dum-dam dum-dam sana dan sini, sekarang dah pagi petang hujan...!

Zamry ditawar jadi MB Pakatan Rakyat

Zamry pula mendedahkan bahawa beliau telah ditawarkan menjadi MB pakatan Rakyat jika melompat parti menyertai PKR setelah pilihanraya 2010. Perkara itu didedahkan Zamry ketika menggulung perbahasan di DUN Perak.

Pendedahan zamry itu tidak mengejutkan , sebaliknya menjadi satu lagi lawak tahun ini meneruskan lawak Zahrain dan Zul di Parlimen. Zamry juga nampaknya teringin nak glamer dan menjadi tumpuan, sayangnya pendedahan itu bukan mengejutkan, tetapi menampakkan ke'badut'an Zamry dalam mengejar tumpuan media. Tindakan itu juga dilihat cuba mengalihkan pandangan rakyat dari apa yang berlaku di DUN Perak hari ini dan semalam.

Beliau dikatakan telah ditawarkan oleh seorang pemimpin kanan PKR. Hang bagitau pemimpin 'kanan' mana yang mai offer tu..? Cerita hang tu tak cukup masak nak rakyat 'hadam' zamry oi !

Penduduk Hulu Selangor, Bersedia Dan Jangan Terperanjat

BERTUAH sungguh orang-orang yang menetap di kawasan Hulu Selangor tidak berapa lama lagi. Meskipun mereka masih berada di dalam kesedihan di atas pemergian Wakil Rakyat mereka ke Rahmatullah baru-baru ini, tetapi takdir itu membawa seribu rahmat buat masyarakat di Hulu Selangor. Mahu tidak mahu Pilihanraya Kecil terpaksa diadakan. Seperti biasa, mana-mana kawasan yang berlaku Pilihanraya Kecil pastinya akan dilimpahi kemewahan yang tidak disangka-sangka.

Cuba sebut satu sahaja kawasan yang diadakan Pilihanraya Kecil yang tidak dilimpahi kemewahan secara tiba-tiba? Semua penduduk akan merasai betapa nikmatnya hidup sepanjang tempoh kempen diadakan. Bagi yang lelaki, mereka boleh minum teh tarik dan makan roti canai di warung atau restoren tanpa perlu membayar kerana akan ada `Sipemurah' akan membayarnya


Mereka tidak perlu lagi bekerja di ladang getah kerana akan ada `hantu raya' tolong torehkan getahnya seperti yang berlaku semasa Pilihanraya Kecil Dun Manek Urai yang lepas. Bagi suri-suri rumah pula, mereka boleh lah duduk menonton TV sepanjang hari kerana akan hadir `Puteri-Puteri' dari kayangan berpakaian serba `pink' tolong membasuh kain, menyapu halaman rumah hatta tolong dodoikan anak-anak mereka.

Di saat menjelang pilihanraya nanti, dari sekarang jika rumah anda ada sikit-sikit bocor atap atau dinding rumah reput, lebih baik buangkan terus. Jangan khuatir, atap rumah anda dan dinding rumah anda akan ditukar dengan yang baru. Bayaran? Tidak perlu, anda cuma perlu ikatkan bendera logo keris telanjang tanpa sarung atau dacing baghdad berkarat tu pada tiang-tiang rumah anda. Tidak percaya? Cuba tanya orang-orang Manek Urai atau orang-orang di Bukit Gantang dan Permatang Pauh.

Tapi mereka mungkin silap apabila berdepan dengan masyarakat di Hulu Selangor ini. Jika di Kelantan, rakyat di sana telah diajar petua oleh Tuan Guru Nik Aziz bagaimana untuk berdepan dengan `hantu-hantu raya' yang boleh merupa-rupa ini. Di Kelantan mereka mengamalkan petua, "beri gula, kacau, beri kain, sarung, beri duit, ambil....undi tetap PAS". Hasil dari petua ini Kelantan selamat berpuluh tahun. Petua di Kelantan boleh digunakan di Hulu Selangor sekiranya kita ingin melihat `hantu-hantu raya' ini diperbodohkan. Telah lama orang-orang Melayu diperbodohkan oleh `hantu-hantu raya' yang boleh merupa berbagai rupa ini, kini tiba pula waktunya kita perbodohkan mereka pula.

Mereka ini tiada kekuatan apa-apa kecuali umpan duit, guna jentera kerajaan dan media pencacai mereka. Jangan pelik mulai sekarang kita akan mendengar beratus-ratus orang ahli PR keluar dan menganut `mazhab' Umno/Bn. Di Hulu Selangor nanti akan dimainkan lagu-lagu lama kitaran semula. Menteri-menteri akan datang setiap hari untuk merasmikan bangunan, projek, program hatta perasmian tandas awam pun akan ada menteri yang turun siap siaran langsung oleh TV. Anda jangan sangka negara kita ingin berperang atau huru hara apabila anda melihat beberapa tempat didirikan khemah-khemah Polis.

Mudah-mudahan penduduk-penduduk di Hulu Selangor tidak dirasuk oleh `hantu-hantu raya' ini. Persetankan jenis atau bangsa apa `hantu-hatu raya' ini samada berkulit sawo matang mahu pun berkulit gelap kerana `hantu raya' tetap `hantu raya' yang sentiasa ingin menipu./wfauzdin.blogspot.com

March 30, 2010

MIC digesa berkorban serah Hulu S'gor pada Umno

MIC diminta berkorban dengan menyerahkan kerusi parlimen Hulu Selangor kepada Umno yang lebih berpeluang untuk merampasnya semula dalam pilihan raya kecil akan datang.

Kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Zainal Abibin Ahmad yang meninggalkan kerana barah otak, khamis lalu.

"MIC kena berkorban, pilihan raya kecil ini penting kerana ia adalah pertama kali di Selangor selepas (negeri itu) terlepas kepada Pakatan Rakyat," kata sumber Umno Selangor.

"Ia akan menjadi kayu pengukur, apa salahnya (diberikan kepada Umno) kerana ia adalah kejayaan parti, bukan kejayaan individu atau kejayaan sesuatu kaum.

"Dalam pilihan raya umum ke-12 kita kena ambil kira pandangan akar umbi. Atas semangat persefahaman kita akan serah salah satu daripada kerusi milik umno kepada MIC.

Sumber-sumber itu berkata, sebagai gantinya, pucuk pimpinan parti barangkali boleh menjanjikan mana-mana kerusi milik Umno untuk diserahkan kepada MIC.

Menurutnya, selama ini, Umno memberikan kerusi sama ada parlimen atau DUN untuk ditandingi calon MIC di kawasan yang majoriti pengundi Melayu, antanya di parlimen Kota Raja dan DUN Batu Caves, Sri Andalas dan Ijok.

"Kerusi yang ditandingi MIC majoriti pengundinya adalah orang Melayu. Umno berikan atas dasar persefahaman (sebagai komponen BN) dan Umno memberi MIC peluang untuk bertanding di situ.

"Oleh itu, kita hendak kepada pengorbanan MIC (serahkan kerusi parlimen Hulu Selangor), supaya pilihan raya kecil kali ini menjadi mudah (untuk menang)," katanya.

Sumber-sumber itu berkata, berdasarkan tanda atau isyarat dalam pilihan raya yang lalu, terdapat penolakan akar umbi terhadap calon MIC yang bertanding.

"Berdasarkan konsep 'rakyat didahulukan' apa salahnya mengambil kira pandangan akar umbi. Pengorbanan MIC amat kita harapkan. Namun, ini tidak bererti kita mengingkari persahabatan dalam BN.

"Pengorbanan MIC dalam pilihan raya kecil ini amat penting supaya BN diterima kembali di Selangor. Kita letak calon pilihan akar umbi," katanya.

Menurutnya, terdapat ramai calon dari Umno yang layak dipertimbangkan, antaranya, naib ketua bahagian, Datuk Adnan Buyong; setiausaha bahagian, Nazri Dahalan; ketua Pemuda, Mahmud Kassim dan juga ketua Wanita bahagian, Rosni Sahar yang juga setiausaha wanita Umno pusat.

Sementara itu, BN Selangor yang bermesyuarat malam tadi telah membincangkan mengenai persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Mesyuarat selama dua jam setengah itu dihadiri oleh 70 pemimpin BN negeri dari Umno, MCA, MIC, Gerakan dan PPP.

Bagaimanapun, Malaysiakini dimaklumkan bahawa mesyuarat tersebut tidak menyentuhkan tentang calon BN yang bakal bertanding di situ.

Difahamkan, pengarah pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Noh Omar yang mempengerusi mesyuarat tersebut, memaklumkan bahawa pemilihan calon akan diputuskan oleh pucuk pimpinan BN pusat.

Sumber Berita : Malaysiakini


Apco: Anwar gesa tubuh s'jaya siasatan diraja

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco Inc dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata beliau bimbang kerana kerajaan mengambil sikap membisu terhadap dakwaan penglibatan Apco, sedangkan maklumat strategik negara telah terjejas apabila kerajaan melantik syarikat perunding komunikasi itu.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Anwar turut mendedahkan nama dan maklumat ringkas beberapa individu dalam Apco yang didakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan dan tokoh-tokoh Israel.

"Isu ini membongkar rundingan sulit pihak tertentu hingga maklumat strategik negara terdedah kepada ejen Israel dan tercalarnya maruah umat Islam di negara ini," katanya.

Turut didedahkannya ialah peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggunjawab memperkenalkan Apco kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian antara Apco dan kerajaan Malaysia. Yang satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan Israel dengan Apco ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Katanya lagi, kontrak dengan Apco ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara.

"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. (Proses menandatangani perjanjian) ini disaksikan setiausaha akhbarnnya sendiri, Datuk (Tengku) Sharifuddin (Tengku) Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh pegawai kerajaan," katanya.

Anwar membuat penjelasan itu bagi menjawab tuntutan yang dikemukakan wakil Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini yang mahu Anwar dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen kerana menyamakan slogan 1Malaysia dengan 1Israel.

Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai salah satu daripada aturan mesyuarat.


Sember Berita : Malaysiakini

March 25, 2010

Kerjasama Semua Pihak Penting Tangani Gejala Sosial Secara Tuntas

Kerajaan Selangor menyeru kepada semua pihak yang terlibat dan berpengalaman dalam menangani gejala sosial agar bersama-sama dengan kerajaan negeri dalam usaha membanteras fenomena negatif ini.

“Kami berharap mereka yang benar-benar ingin Selangor bebas daripada gejala sosial, dapat berhubung dengan Pegawai Penyelaras Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial EN AZREEN di talian 03-55447215,” demikian kata Dr Hjh Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dalam satu kenyataan kepada semua pihak terbabit.

Antara pihak yang ditujukan adalah jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, ahli akademik, ahli korporat, NGO, persatuan belia dan wanita, aktivis masyarakat, kaunselor, pesara, remaja dan belia, PIBG, Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS), Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS), Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS), sekolah-sekolah, Universiti/kolej, institusi keagamaan, JKKK, Kelab remaja dll.

Halimah menegaskan bahawa tindakan yang menyeluruh, sepadu dan dirancang teliti adalah perlu untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing.

“Hanya pendekatan inklusif yang menggabungkan segala sumber kepakaran, masa, tenaga, wang ringgit dan segala sistem sokongan mampu menangani gejala sosial secara tuntas,” sambung Adun Selat Klang itu.


Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor
Tingkat 4, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Laman web: www.selangorkini.com.my, www.selangor.gov.my, www.tvselangor.com.
Tel: 03-55447456, Fax: 03-55135068
(Sebarang pertanyaan, sila hubungi Ketua Pegawai Perhubungan Awam Selangor, Ginie Lim 013-6276862)

Laporkan Jika Borang Rumah Kos Rendah Dijual RM300

Mereka yang ditawarkan borang permohonan membeli rumah kos rendah lebih tinggi daripada harga sebenar iaitu RM2 disarankan supaya membuat laporan polis atau melaporkanya terus kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

Exco Perumahan Pengurusan Bangunan & Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata demikian setelah menerima aduan daripada orang ramai bahawa terdapat pihak menawarkan borang tersebut dengan harga setinggi RM300.

Menurutnya, borang permohonan untuk membeli rumah kos rendah di Selangor adalah hanya RM2 sekeping dan borang tersebut boleh didapati dari Lembaga Perumahan atau dari mana-mana Pejabat Daerah.

“Saya menasihatkan mereka yang ditawarkan borang rumah kos rendah lebih daripada RM2 melaporkan kes kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Tingkat 5, Podium Utara, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam atau menghubungi
603 - 5544 7537/ 7170/ 7199.”

Iskandar turut menyangkal dakwaan bahawa ada pihak yang boleh membantu mendapatkan kelulusan untuk membeli rumah kos rendah.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana agen, baik untuk mengedar borang mahupun memproses sebarang permohonan, sebaliknya semua permohonan diproses oleh Lembaga Perumahan.

“Mereka yang hendak membeli rumah kos rendah mesti mendaftar dengan Lembaga Perumahan dengan menyatakan lokasi yang hendak dibeli.”

Menurut Iskandar lagi, hanya mereka yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM2,500 sebulan layak membeli rumah kos rendah.

“Peraturan ini perlu bagi mengelakkan penyelewengan agar hanya mereka yang layak dapat membeli rumah-rumah kos rendah kerana terdapat permintaan yang tinggi bagi rumah-rumah kos rendah terutamanya bagi kawasan-kawasan seperti Ampang dan Petaling Jaya,” sambungnya.

Kerajaan negeri akan menyediakan borang-borang permohonan rumah kos rendah di pihak berkuasa tempatan dan pejabat Adun bagi memudahkan borang-borang itu diperolehi oleh rakyat dalam masa terdekat.


Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor
Tingkat 4, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Laman web: www.selangorkini.com.my, www.selangor.gov.my, www.tvselangor.com.
Tel: 03-55447456, Fax: 03-55135068
(Sebarang pertanyaan, sila hubungi Ketua Pegawai Perhubungan Awam Selangor, Ginie Lim 013-6276862)