March 30, 2010

MIC digesa berkorban serah Hulu S'gor pada Umno

MIC diminta berkorban dengan menyerahkan kerusi parlimen Hulu Selangor kepada Umno yang lebih berpeluang untuk merampasnya semula dalam pilihan raya kecil akan datang.

Kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Zainal Abibin Ahmad yang meninggalkan kerana barah otak, khamis lalu.

"MIC kena berkorban, pilihan raya kecil ini penting kerana ia adalah pertama kali di Selangor selepas (negeri itu) terlepas kepada Pakatan Rakyat," kata sumber Umno Selangor.

"Ia akan menjadi kayu pengukur, apa salahnya (diberikan kepada Umno) kerana ia adalah kejayaan parti, bukan kejayaan individu atau kejayaan sesuatu kaum.

"Dalam pilihan raya umum ke-12 kita kena ambil kira pandangan akar umbi. Atas semangat persefahaman kita akan serah salah satu daripada kerusi milik umno kepada MIC.

Sumber-sumber itu berkata, sebagai gantinya, pucuk pimpinan parti barangkali boleh menjanjikan mana-mana kerusi milik Umno untuk diserahkan kepada MIC.

Menurutnya, selama ini, Umno memberikan kerusi sama ada parlimen atau DUN untuk ditandingi calon MIC di kawasan yang majoriti pengundi Melayu, antanya di parlimen Kota Raja dan DUN Batu Caves, Sri Andalas dan Ijok.

"Kerusi yang ditandingi MIC majoriti pengundinya adalah orang Melayu. Umno berikan atas dasar persefahaman (sebagai komponen BN) dan Umno memberi MIC peluang untuk bertanding di situ.

"Oleh itu, kita hendak kepada pengorbanan MIC (serahkan kerusi parlimen Hulu Selangor), supaya pilihan raya kecil kali ini menjadi mudah (untuk menang)," katanya.

Sumber-sumber itu berkata, berdasarkan tanda atau isyarat dalam pilihan raya yang lalu, terdapat penolakan akar umbi terhadap calon MIC yang bertanding.

"Berdasarkan konsep 'rakyat didahulukan' apa salahnya mengambil kira pandangan akar umbi. Pengorbanan MIC amat kita harapkan. Namun, ini tidak bererti kita mengingkari persahabatan dalam BN.

"Pengorbanan MIC dalam pilihan raya kecil ini amat penting supaya BN diterima kembali di Selangor. Kita letak calon pilihan akar umbi," katanya.

Menurutnya, terdapat ramai calon dari Umno yang layak dipertimbangkan, antaranya, naib ketua bahagian, Datuk Adnan Buyong; setiausaha bahagian, Nazri Dahalan; ketua Pemuda, Mahmud Kassim dan juga ketua Wanita bahagian, Rosni Sahar yang juga setiausaha wanita Umno pusat.

Sementara itu, BN Selangor yang bermesyuarat malam tadi telah membincangkan mengenai persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Mesyuarat selama dua jam setengah itu dihadiri oleh 70 pemimpin BN negeri dari Umno, MCA, MIC, Gerakan dan PPP.

Bagaimanapun, Malaysiakini dimaklumkan bahawa mesyuarat tersebut tidak menyentuhkan tentang calon BN yang bakal bertanding di situ.

Difahamkan, pengarah pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Noh Omar yang mempengerusi mesyuarat tersebut, memaklumkan bahawa pemilihan calon akan diputuskan oleh pucuk pimpinan BN pusat.

Sumber Berita : Malaysiakini


Apco: Anwar gesa tubuh s'jaya siasatan diraja

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco Inc dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata beliau bimbang kerana kerajaan mengambil sikap membisu terhadap dakwaan penglibatan Apco, sedangkan maklumat strategik negara telah terjejas apabila kerajaan melantik syarikat perunding komunikasi itu.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Anwar turut mendedahkan nama dan maklumat ringkas beberapa individu dalam Apco yang didakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan dan tokoh-tokoh Israel.

"Isu ini membongkar rundingan sulit pihak tertentu hingga maklumat strategik negara terdedah kepada ejen Israel dan tercalarnya maruah umat Islam di negara ini," katanya.

Turut didedahkannya ialah peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggunjawab memperkenalkan Apco kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian antara Apco dan kerajaan Malaysia. Yang satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan Israel dengan Apco ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Katanya lagi, kontrak dengan Apco ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara.

"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. (Proses menandatangani perjanjian) ini disaksikan setiausaha akhbarnnya sendiri, Datuk (Tengku) Sharifuddin (Tengku) Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh pegawai kerajaan," katanya.

Anwar membuat penjelasan itu bagi menjawab tuntutan yang dikemukakan wakil Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini yang mahu Anwar dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen kerana menyamakan slogan 1Malaysia dengan 1Israel.

Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai salah satu daripada aturan mesyuarat.


Sember Berita : Malaysiakini