Harakahdaily |
SIBU, 10 Mei: Sebagaimana dijangka, SUPP memulakan serangan ke atas DAP dengan menggunakan isu yang sudah bukan menjadi isu di Semenanjung apabila berkata, 'Undi DAP bererti undi untuk PAS dan negara Islam'. Kempen ini dimulakan oleh Ketua SUPP Sibu yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh. Pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang (gambar) dalam kenyataannya berkata, memang benar Negara Islam adalah matlamat PAS tetapi ia bukannya matlamat Pakatan Rakyat. Beliau mengaku, tema 'Undi DAP bererti undi untuk PAS dan negara Islam' berkesan dalam pilihan raya umum 1999 tetapi ia sudah dikebumikan apabila tsunami politik melanda negara dalam pilihan raya umum 2008. Atas dasar itulah, katanya, di Kuala Sepetang, Perak, 84 peratus pengundi Cina telah memberikan undi kepada calon PAS, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang. Atas dasar itulah juga, 82.5 peratus penduduk Cina Rasa, Hulu Selangor memberikan undi kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim. "Nampaknya pemimpin SUPP yakin, apa yang tidak laku lagi di Semanjung masih lagi laku di Sibu," kata Lim Kit Siang dalam kenyataannya. Beliau yakin, SUPP sangat bimbang dengan perkembangan yang berlaku dalam pilihan raya Sibu apabila sokongan untuk calon DAP semakin meningkat. Dari 40% : 60% antara DAP : BN kini sudah meningkat kepada 44% : 56%. Ini sangat bimbangkan SUPP sehingga mengeluarkan serangan yang dianggap sebagai senjata pemusnah (killer weapon) ini, kata Kit Siang. Di Sibu, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad antara pemimpin PAS yang paling diyakini untuk menjelaskan isu ini. Ini kerana, Khalid adalah antara pemimpin PAS yang mula-mula memasuki gereja untuk bertemu dengan pengundinya selepas menang di Parlimen Shah Alam dalam pilihan raya umum 2008 lalu. Semalam, Khalid bersama Dr Mariah Mahmud, anggota Parlimen Kota Raja menemui penganut Kristian di gereja Sacred Heart, gereja yang terbesar di Sibu. Ekoran itu, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Johnity Ongkili mempertikaikan tindakan PAS itu. "Sebenarnya, mereka (PAS) patut datang ke Sabah dan Sarawak untuk belajar dari kita bagaimana cara untuk menguruskan hubungan antara agama. Ia bukan isu di sini," katanya kepada media. 53 peratus dari 54,649 pengundi Sibu adalah Krsitian. Isu nama Allah menjadi penting di sini apabila kerajaan BN yang dipimpin oleh Umno menolak penggunaan nama Allah oleh penganut agama Kristian. Ia bermula apabila majalah Kristian Herald yang berpangkalan di Sabah memohon perintah mahkamah agar mereka dibenarkan menggunakan perkataan Allah untuk ganti kepada 'God' dalam edisi bahasa Melayu majalah mereka. Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak permohonan itu. Dalam masa yang sama, pelbagai kenyataan dari pemimpin Umno mengguris hati penganut Kristian. Turut menimbulkan kemarahan adalah tindakan membakar beberapa gereja Kristian. Namun begitu, PAS dalam mesyuarat mereka telah memutuskan, penggunaan nama Allah tidak bertentangan dengan Islam dengan syarat ia tidak digunakan untuk mengelirukan umat Islam. "Sejak isu itu, banyak ceramah oleh mubaligh Kristian dalam gereja mereka di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak mengajak penganut Kristian menolak Umno atas tindakan mereka," kata seorang penganut Kristian di Kuala Lumpur. Kini, isu agama dimainkan semula di Sibu dan nampaknya ia akan memihak kepada calon DAP kerana terbukti, rakan SUPP di Semenanjung iaitu Umno yang sepatutnya dipersalahkan |
May 10, 2010
Undi DAP bererti undi untuk negara Islam' muncul di Sibu
Jangan berselindung di sebalik kuasa istana - Anwar
Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 10 Mei: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak yang mendakwa Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mempersenda titah Sultan Selangor agar tidak berselindung di sebalik kuasa istana. Anwar sebaliknya berkata, pihak yang lantang menentang Zahid seharusnya tampil menyatakan hujah dengan cara yang baik. "Kalau tidak bersetuju dengan dia (Zaid), kita harus bahas dengan baiklah. Jangan cuba berselindung di sebalik istana untuk menyerang musuh politik. "Bagi saya orang yang bagi pandangan itu harus bagi pandangan hujah balas. Jangan guna media mereka untuk menyerang orang," katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Jalan Duta selepas menghadiri perbicaraan ke liwat Anwar II hari ini. Khamis lepas, seramai 20 ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) berkumpul di hadapan ibu pejabat PKR di Damansara bagi membantah kenyataan Zaid berhubung titah Sultan Selangor. Tindakan itu ekoran tulisan Zahid di blognya www.myzaidibrahim.com yang menyifatkan titah Sultan Selangor supaya rakyat tidak menggunakan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat berpolitik sebagai pandangan peribadi, bukan satu perintah. Anwar turut berkata, sebagai seorang peguam yang memahami undang-undang dan perlembagaan, Zaid hanya menyatakan tafsiran undang-undang dan pindaan yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu. "Datuk Zaid ini peguam terkemuka terutama dari sudut undang-undang dan perlembagaan. Dia hanya mengesahkan tafsiran undang-undang dan pindaan yang dilakukan oleh kerajaan Umno (BN) pada masa itu yang menetapkan bidang kuasa Sultan. Katanya juga, Umno BN sebenarnya yang sering melakukan tindakan menghina institusi istana sejak pindaan perlembagaan 1983. "Yang menghina Sultan itu sejak pindaan perlembagaan 1983, adalah Umno BN. Baca hansard parlimen, baca ucapan-ucapan pemimpin Umno di Terengganu dan Kelantan dulu. Jadi saya kira bagi ruang kepada Datuk Zaid untuk mengemukakan pandangan. Kalau tidak bersetuju bagi ruang kepada orang lain yang tidak bersetuju kemukakan pendapat," katanya. Zaid dalam tulisannya dipetik sebagai berkata, dalam sistem Raja Berpelembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu. Katanya, menurut perlembagaan, segala kehandak sultan mesti disalurkan melalui Majlis Agama Negeri yang bermesuayarat dan keputusan mesyuarat itu akan diwartakan atau dijadikan “gazette” tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya. Ujarnya juga, pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi yang sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja. Tulisan itu terbit sebagai mempertahankan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melanggar arahan Sultan Selangor apabila mengadakan ceramah di masjid di sekitar Selangor. Sehubungan itu, beliau telah diberi amaran oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melalui sepucuk surat yang ditulis oleh pengerusi Mais, Mohamad Adzib Mohd Isa. |
Dakwaan rasuah: MB jamin siasatan, cadang lapor polis
SHAH ALAM, 9 Mei – Kerajaan Negeri Selangor sedia menjalankan siasatan dakwaan wujud penyelewengan yang didakwa dilakukan tiga kakitangan Syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd.
Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjanji mengambil tegas terhadap mereka jika terbukti kakitangan syarikat itu, terlibat dalam rasuah.
Abdul Khalid sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kerusi kuasa kerajaan negeri, bertekad membersihkan gejala rasuah yang berakar umbi sejak 50 tahun pemerintahan UMNO- Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Kapar, Manikavasagam Sundram sebelum ini mendedahkan wujud penyelewengan yang dibuat tiga kakitangan syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd.
Manikavasagam yang belum mengemuka sebarang bukti, turut meminta Abdul Khalid membersihkan amalan rasuah yang didakwa berlaku dalam syarikat terbabit.
Mengulas hal ini, Khalid tidak mahu tergesa-gesa sebaliknya sedia menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum tindakan tegas diambil.
“Kalau tahu siapa orang-orang itu, umumkan. Tapi Manikavasagam mesti berjaga-jaga ketika umumkan, siapa yang salah, siapa yang betul. Kerajaan negeri telus, kalau betul ada orang menyeleweng, tak payah buat pengumuman, terus lapor kepada polis,” katanya.
Khalid sendiri menggalakkan wakil rakyat untuk membentang pada rakyat jika berlaku rasuah berikutan mereka adalah jentera menyelesaikan masalah.
Pada satu dakwaan yang langsung tidak bersandarkan sebarang bukti, kononnya abang kepada Tan Sri Khalid memiliki kepentingan dalam Syarikat Semesta Sdn Bhd, Menteri Besar Selangor mennafikan tohmahan itu sekeras-kerasnya.
“Kalau ada orang yang dikatakan abang saya, saya tak tahulah. Boleh tangkap dia, tak boleh cakap-cakap sahaja, tangkap sahaja,” katanya.
Bila Agaknya Berahim PERKASA Nak Bakar Gambar Najib?
Bebaru ni beberapa juak Berahim dari PERKASA telah membakar gambar Zaid Ibrahim kerana mendakwa Zaid telah derhaka pada Sultan Selangor.
Mengikut affidavit Sultan Kelantan yang terbaru:
Dalam afidavit itu, Tengku Muhammad Fakhry berkata mereka diarahkan keluar daripada kenderaan tersebut. Katanya lagi, baginda sultan tidak bersetuju dengan arahan untuk dibawa ke HUSM.Tengku Muhammad Fakhry juga menceritakan bagaimana kumpulan lelaki tersebut menolak bondanya keluar daripada lif di HUSM, serta turut dihalang lagi daripada memasuki bilik rawatan Tuanku Ismail Petra.
Jelas Baginda Sultan Kelantan diperlakukan seperti penjenayah dan sampah. Bila Agaknya Berahim PERKASA hendak membakar gambar Najib Tun Razak pula?
Ataupun Berahim PERKASA ni memang bangsa "Mengata Dulang Paku Serpih"?
Tulang Besi
Polis bertopeng lengkap bersenjata serbu Sultan Mei 7, 10 7:43pm
Tengku Muhammad Fakhry, putera ketiga Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Tengku Yahya Petra hari ini mendedahkan rentetan kejadian yang berlaku pada 4 Mei, menyebabkan baginda kini 'ditahan' di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.
Beliau menceritakan perkara itu dalam afidavit sepanjang 14 halaman, yang dikemukakan untuk menyokong permohonan habeas corpus berhubung insiden berkenaan berhubung dakwaan penahanan baginda.
Antara 30 hingga 40 orang anggota polis tindakan khas didakwa telah menahan kenderaan baginda daripada meninggalkan Istana Mahkota dalam kejadian tersebut.
Baginda pada ketika itu dalam perjalanan untuk menaiki penerbangan ke Singapura tetapi dilencongkan oleh anggota polis berkenaan ke HUSM, dalam kejadian pada lewat petang Selasa itu.
Tengku Muhammad Fakhry yang juga Tengku Temenggong Kelantan juga mendedahkan anggota polis elit berkenaan mengacukan senjata separa automatik mereka ke arah pemandu kereta berkenaan dan juga bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Dalam afidavit itu, Tengku Muhammad Fakhry berkata mereka diarahkan keluar daripada kenderaan tersebut. Katanya lagi, baginda sultan tidak bersetuju dengan arahan untuk dibawa ke HUSM.
Tengku Muhammad Fakhry juga menceritakan bagaimana kumpulan lelaki tersebut menolak bondanya keluar daripada lif di HUSM, serta turut dihalang lagi daripada memasuki bilik rawatan Tuanku Ismail Petra.
Tulang Besi.
EZAM SESUMPAH DAPAT SENATOR, SIAPA YANG MELOPONG?
AL KISAH, maka mamat Ezam sesumpah pun dilantik menjadi Senator. Sebagaimana kata Mamat sesumpah di atas perlantikannya sebagai Senator adalah kerana `jasa'nya memerangi rasuah sewaktu di dalam GERAK. Berkatalah Mamat sesumpah lagi, betapa beliau menentang OSA dan ISA dan pendedahan rasuah melibatkan bekas Ketua Wanita Umno Rafidah Aziz sehinggakan beliau terperosok ke dalam penjara. Kununnya itulah kehebatannya melayakkan beliau diangkat sebagai Senator.
Terlalu banyak ulasan telah dibuat terhadap perlantikan Mamat yang digelar juga raja kotak ini setelah beliau dilantik sebagai Senator. Apa yang pasti, hampir kesemua ulasan berkaitan perlantikan Mamat Ezam ini bersetuju bahawa perlantikannya hanyalah semata-mata beliau paling galak menyerang DS Anwar. Itu sahaja. Bukti jelas menolak dakwaan perlantikannya adalah kerana perjuangan menentang rasuah, OSA atau ISA terlalu mudah untuk kita sebutkan satu persatu.
Sewaktu beliau memimpin GERAK, cuba sebutkan satu sahaja perjuangannya yang berjaya sehingga perasuah disiasat dan ditangkap terutamanya di kalangan pimpinan Umno. Rafidah masih bebas dan kini `sekelambu' dengan Mamat Ezam. Apakah ini bermakna Rafidah sudah dibersihkan oleh Mamat Ezam? Akta zalim ISA masih kekal dan terus mengganas di bawah kerajaan yang diterajui oleh Umno iaitu parti yang menganugerahkan Mamat Ezam ini Senator. Apakah ini bermakna Akta ISA kini `halal' di sisi Mamat Ezam? Cuba kita imbas kembali, semenjak Mamat Ezam ini keluar dari KeADILan, selepas itu memimpin GERAK, beliau dilihat masih komited menentang rasuah dan sepatutnya ketika itu lah beliau boleh diangkat menjadi Senator oleh Najib jika benar Najib benci kepada rasuah. Selepas itu, Mamat Ezam mengambil keputusan menganuti fahaman Umno yang bersekutu dengan APCO itu. Bermula di saat itu, Mamat Ezam sudah tidak fasih lagi untuk berbicara soal rasuah.
Mengapa? Ini adalah kerana beliau telah dimakan oleh sumpahannya sendiri. Mamat Ezam pernah berkata, "Sila tunjukkan siapa yang menyertai Umno itu ikhlas?". Kata-kata itulah yang menjadi sumpahan buat Mamat Ezam sehinggakan lidahnya keras dan kelu untuk menyebut perkataan `rasuah'. Apa yang mampu diratibkan oleh lidah Mamat Ezam hanyalah menyebut nama DS Anwar. Oleh kerana terlalu ingin mengampu Najib, Mamat Ezam ini sanggup mengaku dirinya `bodoh' dan diperbodohkan oleh DS Anwar dahulu sehinggakan beliau berjuang habis-habisan membela DS Anwar. Mamat Ezam pun merafak sembah ampun dan maaf kepada ahli-ahli Umno kerana telah di`perbodohkan' oleh DS Anwar dahulu.
Siapa yang melopong selepas Mamat Ezam ini mendapat habuannya dari Najib? Sudah tentu yang melopong dan terasa bodoh sangat adalah rakan-rakan spesisnya seperti Ruslan Kassim, Zahid Md Arip, Lokman Adam dan ramai lagi yang lebih dahulu keluar dari KeADILan dan mencium bau Umno dari Mamat Ezam. Mereka dapat apa? Mereka tiada jasakah kepada Najib sebagaimana jasa Mamat Ezam? Zahid Md Arip lagi hebat mengampu Najib sehinggakan tergamak mengeluarkan perkataan lucah terhadap Tuan Guru Nik Aziz. Apa yang dicarutkan oleh Zahid Md Arip itu adalah `barang sulit' maknya sendiri. Beliau sanggup menghina `barang sulit' maknya demi untuk menghina Tuan Guru Nik Aziz semata-mata untuk mengampu Najib. Tapi, apa yang cucu Tun Ghafar Baba ini dapat? Dapat dosa kering adalah.
Tidak pelik jika kedengaran suara-suara dari pimpinan Umno khususnya di kalangan Pemuda Umno yang tidak menyenangi kehadiran Mamat Ezam ini. Mereka tahu, Mamat Ezam bukan tokoh penting untuk membantu Umno kerana terbukti di dalam beberapa Pilihanraya Kecil jika beliau hadir menghentam DS Anwar, Umno pasti terkangkang. Di Hulu Selangor baru-baru ini pun, semua tahu bukan kerana kekuatan pengaruh Mamat Ezam membuatkan Bn menang tetapi kerana pengaruh wang dan rasuah oleh Najib dan Muhyiddin.
Percayalah, Mamat Ezam ini tidak akan ke mana selepas ini. Beliau pasti akan dipancung oleh rakan-rakan di dalam Pemuda Umno sendiri nanti. Mukhriz dan KJ sudah pasti tidak akan membiarkan Mamat Ezam ini terus dibuai dan didokong oleh Najib sebilang masa. Mereka telah menghitung bahawa Mamat Ezam ini tiada satu pun agenda untuk memperkuatkan Umno tetapi hanya mempunyai agenda peribadi untuk mengampu Najib yang dulunya beliau anggap lebih teruk dan jahat dari Mahathir. Apa pun, kita simpati dengan rakan-rakan Mamat Ezam yang kini sedang melopong mulut dipenuhi lalat itu.
- Wan FauzdinBangkitkan 13 Mei: Dato’ Azhar Cetus Ketegangan Kaum!
Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP) pada hari ini akan membuat laporan polis untuk menyiasat kenyataan berbaur hasutan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, YB Dato’ Azhar Ibrahim dalam Sidang DUN semalam (6 Mei 2010).
Beliau yang mendapat peluang mencelah untuk membahas Ucapan Penggulungan Ketua Menteri telah dengan penuh tidak bertanggungjawab, membangkitkan sentimen perkauman dengan memberi amaran kepada rakyat, 13 Mei akan berlaku jika rakyat menafikan peranan polis. Beliau juga seakan mengugut rakyat Pulau Pinang ini agar menerima tentera menjaga keselamatan mereka jika rakyat sudah tidak mahukan polis lagi, dan yang paling mengecewakan, beliau kata adalah lebih senang suasana Mageran diwujudkan kembali.
Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP) pada hari ini juga mahu pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak ke atas kenyataan YB Dato’ Azhar Ibrahim yang berbaur hasutan dan jelas sekali, ketua pembangkang itu telah melanggar peraturan 46 DUN yang melarang mana-mana anggota DUN menyebut perkataan yang berunsur hasutan dan memberontak serta bermusuhan antara kaum.
Walaupun beliau telah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan di atas sikapnya itu, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP), tetap mahukan beliau disiasat dan dibawa ke muka pengadilan, kerana sidang DUN ini telah diikuti secara langsung oleh seluruh rakyat Pulau Pinang dan tindakan beliau ini dikhuatiri bakal menimbulkan ketegangan kaum.
Bagi Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang (SPPRPP), kami tetap menghargai akan peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh pihak Polis dalam menjaga keselamatan rakyat, namun dalam masa yang sama, mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletakkan jawatan beliau, atas siri-siri kegagalan beliau dalam mengurustadbir pasukan polis dan menangani jenayah di negara ini.
SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Setiausaha,
Angkatan Muda KEADILAN
Pulau Pinang (AMKPP)
YB NG WEI AIK
Setiausaha,
Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang
MOHD. NOR B. HARUN Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS (DPP) Pulau Pinang