March 10, 2009

AMK PUCHONG BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP KP SPRM


Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bahagian Puchong, membuat satu laporan polis berhubung kenyataan Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Sri Ahmad Said Hamdan pada 20 Februari lalu.

Ketua AMK Puchong, Mohd Ali Ismail berkata, laporan yang dibuat di Balai Polis Bukit Puchong pada 6.30 petang 24 Februari itu berikutan kenyataan Ahmad Said yang dianggap berniat jahat serta sengaja dilakukan bagi menjatuhkan imej Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, laporan dibuat berhubung kenyataan hasil siasatan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai sumbangan 46 lembu dan kos penyelenggaraan kereta Lexus seperti digembar-gemburkan media massa.
"Saya berpandangan kenyataan Ahmad Said bahawa terdapat bukti kukuh dan kuat untuk SPRM mendakwa Menteri Besar Selangor di mahkamah mempunyai niat sebaliknya dan bertujuan menjatuhkan beliau".
"Ia dibuat untutk memburuk-burukkan reputasi MB Selangor itu kepada rakyat negara ini khususnya di negeri Selangor," katanya.
Mohd Ali berkata, pihaknya kesal berikutan kenyataan SPRM mendedahkan maklumat dan hasil siasatan mereka terhadap tuduhan salah guna kuasa walaupun ia adalah laporan sulit dan tidak seharusnya didedahkan kepada umum.
"Kertas siasatan dan dokumen berkaitan adalah sulit dan ia tidak sepatutnya didedahkan sehingga pertuduhan ke atas MB Selangor dilakukan secara rasmi di mahkamah oleh Peguam Negara".
"Tindakan SPRM jelas menyalahi tatacara urusan dokumen sulit yang sepatutnya tidak didedahkan sebagaimana dilakukan pada 20 februari lalu," katanya ketika ditemui di balai polis berkenaan.
Beliau berkata, kenyataan SPRM mempunyai niat tidak baik dan cuba menggambarkan MB Selangor sebai seorang yang melakukan rasuah.
"Kami beranggapan kenyataan dikeluarkan KP SPRM itu bertujuan mempengaruhi Jabatan Peguam Negara dan mahkamah mendakwa dan menghukum MB," katanya.



PERHIMPUNAN SEMANGAT 46 LEMBU

AMK Selangor telah melancarkan satu program yang dinamakan "Perhimpunan Semangat 46 Lembu"dengan bertujuan untuk menunjukkan/memberikan mesej bahawa SPRM telah menjadi 'Lembu Cucuk Hidung' terhadap kerajaan UMNO-BN dulu, kini dan mungkin selamanya.
Tarikh : 25-Februari-2009

Masa : 2.00 petang

Tempat : Lobi Belakang Plaza Massalam, Seksyen 9,
Shah Alam

Agenda : Perarakan Lembu ke SPRM


Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia


SPRM LEMBU UMNO-BN!Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam keras tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertindak selektif mengumumkan bakal mendakwa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim atas tuduhan penyalahgunaan kuasa beliau dalam urusan penyelenggaraan kenderaan peribadi beliau dan juga pengagihan lembu korban oleh PKNS di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

Pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Ahmad Said Hamdan jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa beliau yang secara terang menunjukkan pelanggaran Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan kuasa mendakwa hanya kepada Jabatan Peguam Negara.

Tindakan beliau juga kelihatan selari dengan usaha jahat dan terancang oleh Umno-BN yang mahu mengganggu gugat kestabilan kerajaan Negeri Selangor khususnya dalam keadaan tampuk pemerintahan negara bakal diambil alih oleh Najib Tun Razak.

AMK ingin mempersoalkan profesionalisme SPRM dalam mengendalikan siasatan kes-kes rasuah, khususnya yang dibuat oleh AMK sendiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Laporan membabitkan penyelewengan kes pembelian Eurocopter; kes rasuah mantan MB Selangor Khir Toyo; laporan penyelewengan wang kerajaan oleh Kementerian Belia dan Sukan seperti didedahkan oleh Laporan Audit Negara; laporan lesapnya wang kerajaan melalui anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu; laporan mengenai akuan bersumpah Ketua Bahagian keADILan Ipoh Barat, Fauzi Muda mengenai usaha Najib membeli ADUN-ADUN PR di Perak; laporan campurtangan PM yang didedahkan oleh Datuk Raymond Tan di dalam kes membabitkan Datuk Seri Yong Teck Lee; dan puluhan lagi laporan rasuah dan salahguna kuasa yang dikemukakan oleh AMK, kesemuanya dibakulsampahkan oleh SPRM.

Tindakan jijik ini pastinya tidak boleh menutup mata rakyat, dalam keadaan SPRM kini ibarat lembu dicucuk hidung oleh Umno-BN. Kehilangan berbillion-billion wang rakyat diabaikan, sebaliknya laporan yang tiada asas yang dikemukakan oleh Umno-BN melalui NGO-NGO yang pro-Umno didahulukan seolah-olah ia dosa yang telah terbukti besar.

AMK melihat SPRM sudah hilang nilai profesionalismenya. Justeru, AMK akan menggerakkan jentera AMK sepenuhnya untuk menerangkan kepada rakyat pencabulan kuasa dan hak yang dilakukan sewenangnya oleh Umno-BN melalui SPRM.

AMK juga akan melakukan 'kunjungan hormat' ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menghadiahkan beliau seekor lembu sebagai signifikan kepada peranan SPRM yang semakin tunduk di kawal Umno-BN.

AMK percaya bahawa rakyat tidak mudah diperbodohkan dengan siri-siri pembodohan rakyat yang sedang giat dilakukan oleh Umno-BN.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia




PEMUDA PAKATAN RAKYAT MEMBUAT LAPORAN POLIS TERHADAP KP SPRM

Tarikh : 23-Februari-2009 (Isnin)

Tempat : Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam (IPD Shah Alam)
Seksyen 11, Shah Alam

Pelapor : 1] Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor
2] Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
3] Ketua Pemuda DAP Selangor
4] Pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat Selangor