March 10, 2009

AMK PUCHONG BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP KP SPRM


Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bahagian Puchong, membuat satu laporan polis berhubung kenyataan Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Sri Ahmad Said Hamdan pada 20 Februari lalu.

Ketua AMK Puchong, Mohd Ali Ismail berkata, laporan yang dibuat di Balai Polis Bukit Puchong pada 6.30 petang 24 Februari itu berikutan kenyataan Ahmad Said yang dianggap berniat jahat serta sengaja dilakukan bagi menjatuhkan imej Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, laporan dibuat berhubung kenyataan hasil siasatan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai sumbangan 46 lembu dan kos penyelenggaraan kereta Lexus seperti digembar-gemburkan media massa.
"Saya berpandangan kenyataan Ahmad Said bahawa terdapat bukti kukuh dan kuat untuk SPRM mendakwa Menteri Besar Selangor di mahkamah mempunyai niat sebaliknya dan bertujuan menjatuhkan beliau".
"Ia dibuat untutk memburuk-burukkan reputasi MB Selangor itu kepada rakyat negara ini khususnya di negeri Selangor," katanya.
Mohd Ali berkata, pihaknya kesal berikutan kenyataan SPRM mendedahkan maklumat dan hasil siasatan mereka terhadap tuduhan salah guna kuasa walaupun ia adalah laporan sulit dan tidak seharusnya didedahkan kepada umum.
"Kertas siasatan dan dokumen berkaitan adalah sulit dan ia tidak sepatutnya didedahkan sehingga pertuduhan ke atas MB Selangor dilakukan secara rasmi di mahkamah oleh Peguam Negara".
"Tindakan SPRM jelas menyalahi tatacara urusan dokumen sulit yang sepatutnya tidak didedahkan sebagaimana dilakukan pada 20 februari lalu," katanya ketika ditemui di balai polis berkenaan.
Beliau berkata, kenyataan SPRM mempunyai niat tidak baik dan cuba menggambarkan MB Selangor sebai seorang yang melakukan rasuah.
"Kami beranggapan kenyataan dikeluarkan KP SPRM itu bertujuan mempengaruhi Jabatan Peguam Negara dan mahkamah mendakwa dan menghukum MB," katanya.