September 11, 2009

KENYATAAN PAS PUCHONG YANG MENGELIRUKAN & BIADAP









Petikan Dari Sinar Harian 9 September 2009

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Puchong berasa amat kesal dan kecewa terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YDP PAS Kawasan Puchong Mohd Soffeian Ismail seperti yang telah dipaparkan dalam Sinar Harian bertarikh 9 September 2009 yang lalu. Walaupun penyelesaian telah dicapai berkenaan pengurusan peruntukan DUN Seri Serdang melalui mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat Puchong yang turut dihadiri beliau sendiri, YB Teresa Kok, YB Gobind Singh, YB Yaakob Sapari serta wakil parti pada Jun yang lalu sehingga terbentuknya Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD), namun perkara ini masih menjadi barang ungkitan pihak PAS.

Semenjak JPD dibentuk dan diterajui oleh Pemuda PAS Kawasan sebagai Pengarah , banyak program kemasyarakatan telah dilaksanakan atas kerjasama jawatankuasa dari wakil PKR dan DAP. Tiada sebarang masalah yang timbul dan semua peruntukan dapat disalurkan kepada golongan sasaran.

Saya salah seorang jawatankuasa JPD menafikan sekeras-kerasnya kenyataan YDP PAS Puchong bahawa adanya gesaan dari jawatankuasa JPD supaya tiada lagi campur tangan Exco Kerajaan Negeri (YB Yaakob Sapari) dalam urusan JPD tersebut. Sepanjang beberapa siri mesyuarat JPD yang telah berlangsung tidak pernah ada sebarang perbincangan yang menyentuh soal campurtangan YB Yaakob Sapari. Kenyataan YDP PAS Puchong ini amat mengelirukan dan mempunyai motifnya yang tersendiri sehingga sanggup membuat kenyataan yang berunsur fitnah dan cuba memburukkan imej pemimpin PKR Puchong.

Sebenarnya hanya wakil PAS Puchong sahaja yang mendesak supaya tiada campurtangan Exco, malahan desakan itupun tidak pernah diluahkan pada saluran yang betul iaitu melalui mesyuarat JPD Seri Serdang atau MPR Puchong yang dijalankan setiap bulan. Pihak PAS Puchong lebih suka menggunakan media suratkhabar untuk meluahkan hati mereka daripada berbincang sesama rakan Pakatan Rakyat.

Jika dibaca dari kenyataan terakhir tersebut, jelas bahawa PAS Puchong amat bongkak dan tidak ikhlas dalam menjalinkan hubungan dan berkongsi pentadbiran bersama PKR dan DAP. Kerana inginkan kuasa, PAS Puchong sanggup mengguris hati rakan pakatan terutamanya PKR Puchong.

Saya selaku Ketua AMK Puchong menggesa supaya YDP PAS Puchong bertanggungjawab dan memohon maaf secara terbuka kepada PKR Puchong terutamanya kepada YB Tuan Haji Yaakob Sapari atas kenyataan yang telah dikeluarkannya. Persahabatan sesama rakan pakatan sepatutnya diakrabkan bukannya dihancurkan agar Pakatan Rakyat diterima oleh rakyat.

Wassalam :