January 6, 2010

Ahli PKR Puchong Sertai Umno (Kenyataan Media AMK Puchong)

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Puchong (AMK)
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

AMK Puchong menyatakan pendirian tegas agar Jawatankuasa PKR Cabang Puchong di bawah kepimpinan Tuan Haji Yaakob Bin Sapari, haruslah lebih bertanggungjawab dengan serta-merta mencari jalan terbaik dan efektif untuk mengatasi penghijrahan ahli-ahli PKR ke dalam Umno sebagaimana yang berlaku di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6.

Tidak dinafikan bahawa ada di kalangan mereka adalah ahli PKR yang turut sama membantu PKR dalam beberapa siri pilihanraya sebelum ini termasuklah pada Pilihanraya ke-12, Mac 2008.

Apa yang berlaku di Pangsapuri Enggang haruslah dijadikan ikhtibar buat PKR Puchong tanpa perlu membuat sebarang tuduhan-tuduhan yang kurang berasas dan tidak bijak kepada ahli-ahli yang meninggalkan parti. Pendirian mereka harus dihormati kerana mereka juga berhak untuk menentukan parti mana yang mereka ingin sertai kerana amalan demokrasi di Malaysia membenarkannya.

Bagaimanapun, apa yang berlaku tidak sepatutnya dibebankan dibahu Tuan Haji Yaakob Sapari sahaja kerana wakil daripada PKR Puchong telah dilantik untuk memantau dan menjaga hal kebajikan penduduk Pangsapuri Enggang. Ahli Majlis di zon berkenaan juga dilihat gagal dan tidak mampu untuk menyelesaikan masalah yang telah disuarakan oleh penduduk. Tidak hairanlah jika ada tuduhan mengatakan pemimpin PKR dan Ahli Majlis hanya pandai bercakap dan berjanji sahaja. Keadaan inilah yang telah menyebabkan beberapa penduduk yang terutamanya ahli PKR berasa amat kecewa dan telah bertindak menghubungi ADUN Sri Serdang (Satim Diman) untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Sepatutnya kekecewaan yang disuarakan oleh mereka seharusnya diteliti dan diperhalusi sejak dari awal lagi. Pemimpin dan wakil parti yang dilantik seharusnya dikalangan mereka yang betul-betul dapat mendalami dan menjiwai perasaan penduduk-penduduk di Pangsapuri Enggang dan bukannya pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan bersikap lepas tangan.

Berikutan itu, kenyataan ‘Sandiwara Umno’ yang dikeluarkan oleh Md Nizam Iskandar (Naib Ketua AMK Puchong) kepada Sinar Harian bertarikh 6hb Januari 2010 adalah kurang tepat kerana dibuat tanpa merujuk kepada sumber yang sahih. Kenyataan itu hanya bersifat peribadi dan saya sama sekali menyangkal ianya mewakili keseluruhan AMK Puchong. Sebenarnya beliau tidak relevan dan tidak layak untuk membuat kenyataan tersebut kerana beliau sendiri hanya menjadi ahli PKR selepas kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor pada Pilihanraya Umum Ke-12 Mac 2008. Malahan beliau sendiri langsung tidak mengenali setiap individu yang terbabit seperti yang telah dinyatakan kepada Sinar sebelum ini.

Seharusnya, beliau perlu merujuk kepada Jawatankuasa AMK Puchong sebelum sebarang kenyataan akhbar dikeluarkan.






Mohd Ali Bin Ismail
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Cabang Puchong

1 comment:

Anonymous said...

bodoh...tido je la ko...ape pun x bole la..