March 25, 2010

Siapa pengerusikan Sidang DUN 30 Mac



Kedudukan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, menjadi bahan perbualan dan pertikaian hebat malah turut dibangkitkan persoalan apakah Datuk R Ganesan atau V Sivakumar akan mempengerusikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 30 Mac ini.


Bekas Ahli Majlis Batu Gajah, S Vijaykumar berkata, sepertimana sedia maklum, Sivakumar dipilih melalui majoriti dewan berdasarkan ketetapan undang-undang pada 24 April 2008. Menurutnya, waktu itu Sivakumar telah memperoleh 31 undian daripada 58 kerusi yang mengambil bahagian dalam proses pengundian itu.



“Proses pemilihan itu berlaku selama lebih kurang dua jam setelah berdebat dalam pelbagai aspek dalam Dewan Negeri itu.

“Persoalannya kini, bolehkah jawatan yang disandang oleh Sivakumar dirampas dengan menggunakan kekerasan,” katanya melalui kenyataan bertulis kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Vijaykumar berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) didakwa telah melancarkan satu konspirasi untuk menyingkirkan Sivakumar dari kerusinya dengan menggunakan kuasa pihak berkuasa.

Katanya, ini merupakan satu peristiwa titik hitam yang tidak boleh dilupai oleh rakyat Negeri Perak.

“Adakah pelantikan Ganesan sebagai Speaker boleh dianggap sah, Ganesan hanya bekas ADUN Sungkai, tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2008 kerana tidak diberi kerusi oleh MIC untuk bertanding dalam pilihan raya yang lalu.

“Ini membukti beliau tidak layak untuk menjadi seorang ADUN apatah lagi dilantik sebagai Speaker untuk mengetuai semua ADUN di DUN Perak.

“Jika beliau layak menjadi ADUN, kenapa parti MIC tidak memberi kerusi untuk beliau bertanding dalam pilihan raya yang lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyelar kenyataan Pemuda MIC Ipoh Timur, R Sughumaaren yang menganggap Sivakumar gila kuasa walhal beliau dan parti MIC seharusnya berasa malu kerana Ganesan telah dipergunakan oleh UMNO untuk kepentingan politiknya.

“Ganesan sebenarnya merupakan ‘bahan reject’ parti MIC yang kini diperkudakan UMNO dan BN.

“Beliau dibawa semula ke dalam pentas politik Perak semata-mata untuk kepentingan politik pemimpin BN negeri ini,” katanya.S/H

No comments: