April 6, 2010

Kenapa salahkan Mafrel?

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 April: Badan Pemantau Pilihan Raya (Mafrel) mempertikaikan pihak tertentu yang menyalahkannya ekoran membidas tindakan Kerajaan Pusat meluluskan pelbagai projek perumahan dan sekolah kepada penduduk Hulu Selangor.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh menjelaskan Mafrel tidak berpihak kepada sesiapa dan respons yang diberikan itu berdasarkan laporan media.

"Saya respons itu kepada laporan media, kalau ada media melaporkan berkenaan, apa dilakukan Menteri Besar Selangor dan juga direkodkan kenyataan berkempen, saya akan buat teguran sama. Kita tidak berpihak kepada mana-mana,” jelasnya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Menurutnya, semasa pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir di Pasir Mas pada 2005 lalu, pihaknya pernah menegur Kerajaan PAS Kelantan.

"Masa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, Mafrel juga pernah tegur Kerajaan Kelantan.

"Adakah kerana saya tidak menegur Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), maka itu salah bagi saya, sepatutnya proses undang-undang yang perlu dipatuhi,” katanya.

Justeru, beliau mempersoalkan mengapa kesalahan itu dialihkan kepada Mafrel.

Semalam, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar mendakwa Mafrel sebagai alat pembangkang kerana tidak bersikap bebas dalam menyatakan pandangan.

Noh menyatakan demikian dengan merujuk satu kenyataan Syed Ibrahim yang mempersoalkan tindakan kerajaan pusat meluluskan projek perumahan dan sekolah kepada penduduk di Hulu Selangor menjelang pilihan raya kecil parlimen kawasan itu pada 25 April ini.

Bagi Syed Ibrahim, tindakan tersebut menyalahi peraturan pilihan raya.

Ekoran itu, Noh meminta SPR mengkaji semula kedudukan Mafrel sebagai pemantau pilihan raya.

"Mafrel bekerja atas dasar perinsip, kalau nak cadang SPR tarik balik pengiktirafan, buktikan dengan rekod gerak kerja kami, tak perlu bidasan politik semata-mata,” jelas Syed Ibrahim.

No comments: