April 5, 2010

Sisi Perkauman Dominan Dalam Politik Malaysia

Memang mudah melihat semua perkara dari sudut perkauman. Kerajaan Melayu, pGo to  fullsize imagearti Melayu dan jentera kerajaan Melayu. Sementara yang menentangnya ialah pembangkang Cina, ahli perniagaan Cina dan komgsi gelap Cina. Maka senario yang ditunjukkan ialah orang Melayu mengalah sementara pihak Cina maju menuntut hak mereka.

Pertamanya, prinsip kebangsaan bercanggah dengan perkauman. Gerakan Islam perlu menghuraikan apa yang dimaksudakan dengan kebangsaan. Istilah perkauman adalah jelas. Ia bercanggah dengan kemanusiaan dan agama Islam itu sendiri. Perkara ini mudah untuk dilihat walaupun wajar diingatkan semula.

Sebelum melihat soal perkauman, wajar diteliti istilah kemanusiaan dan Islam itu sendiri. Ajaran Islam jelas menyokong kemanusiaan. Tetapi tidak semua perjuangan untuk kemanusiaan selari dengan kehendak Islam. Ini kerana Islam sebagai agama melihat soal ketuhanan dan Tauhid. Allah SWT mencipta alam ini dan manusia adalah makhluk yang tugasnya beribadat kepada Allah SWT.

Tetapi dalam banyak-banyak makhluk, manusia adalah paling istimewa kerana dia yang mempunyai roh untuk berada amat hampir pada Allah SWT. Justeru Islam mendokong kemanusiaan, tetapi dalam konteks ia memiliki roh untuk hampir kepada Allah SWT. Manusia dalam Islam tidak berdiri sendiri untuk menentukan segalanya, dia adalah hamba Allah SWT.

Maka Allah SWT mewujudkan manusia berbangsa-bangsa, supaya saling kenal-mengenali, bukan untuk berperang. Tetapi adalah untuk membantu antara satu sama lain bagi menghampiri diri kepada Allah SWT. Tidak ada bangsa yang tinggi daripada yang lain. Tidak ada bangsa yang istimewa, hatta orang Arab atau Quraisy sekalipun, apatah lagi Yahudi. Kemuliaan sesuatu bangsa terletak kepada ketakwaan individu. Sesiapa yang menganggap bangsanya paling hebat tanpa takwa, maka itu dianggap sebagai asabiah, suatu yang ditolak Islam.

Kesaksamaan bangsa adalah fahaman Islam. Tetapi Islam tidak menolak kewujudkan bangsa. Apa pula dengan perkauman? Bangsa terdiri daripada banyak kaum. Kaum juga tidak boleh dinafikankewujudannya. Apa yang disebut perkauman ialah sifat mengutamakan kaum sendiri walaupun ia menzalimi kaum lain. Ini adalah asabiah yang ditentang Islam.

Berbeza dengan kebangsaan. Sifat kebangsaan yang menyatukan banyak kaum untuk hidup aman dan adil boleh diterima Islam. Dari sudut bahasa Melayu, penambahan ke-an, dan per-an membezakan antara kebangsaan dan perkauman. Namun tidak ada pula istilah perbangsaan dankekauman. Kalau ada istilah seumpama itu, maka ia boleh dibezakan antara kebangsaan positifdengan kebangsaan negatif.

Kebangsaan positif adalah semangat penyatuan dan perpaduan di kalangan kaum-kaum untuk mewujudkan sebuah negara. Sementara kebangsaan negatif, yang patutnya boleh disebut kekauman adalah sifat menunjukkan keagungan unggul bangsa sendiri untuk menakluk bangsa lain, ia boleh disebut ultranasionalis dan fasis seperti terserlah oleh Jerman, Itali dan Jepun.

Begitu juga dengan perkauman. Ia sememangnya negatif. Tetapi perkauman positif dalam bentuk untuk memelihara jati diri kaum sendiri serta memajukan kedudukan dalam pelbagai bidang kehidupan tanpa melakukan penindasan juga perlu ada. Perkauman jenis ini wajar disebut kekauman. Malangnya istilah itu tidak ada.

Apabila sudah memahami konsep Islam, kemanusiaan, kebangsaan, asabiah dan perkauman, maka mudahlah membicarakan apa yang disebut kebangsaan Malaysia. Sebelum Malaysia diwujudkan, yang ada ialah kebangsaan Melayu. Ini kerana Melayu merupakan warganegara negeri-negeri Melayu.

Kebangsaan Melayu pada permulaannya adalah untuk menyatukan negeri-negeri Melayu supaya jangan berbalah sesama sendiri, yang berlainan negeri. Selain itu, ia bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan daripada Inggeris. Serentak itu memajukan bangsa Melayu supaya tidak dikalahkan oleh mereka yang dibawa Inggeris dari China dan India.

Apabila merdeka, ditubuhkan Tanah Melayu atau Malaya. Maka konsep bangsa Melayu diperluaskan untuk memasukkan semua warganegara Tanah Melayu, walaupun bukan keturunan Melayu. Apa yang sebenarnya muncul ialah bangsa Tanah Melayu atau bangsa Malaya. Sementara kaum yang ada ialah Melayu, Cina dan India serta kaum-kaum yang kecil lainnya.

Namun begitu, kaum Melayu kerana sejarah serta kedudukan politik dan sosioekonominya masih mengekalkan istilah bangsa Melayu. Ini ekoran kedudukan ekonomi yang sewajarnya perlu ada demi keseimbangan politik bagi Malaya. Tetapi dalam usaha membela kedudukan Melayu ini, ia tidaklah perlu untuk menzalimi kaum lain. Apa yang sebenarnya disebut sebagai ketuanan Melayu adalah bersifat sejarah tetapi tidak tertakluk kepada amalan sistem bernegara secaramoden dan demokrasi. Seperti kedudukan raja-raja yang tidak mutlak, maka begitu juga dengan ketuanan Melayu. Ia merupakan ketuanan berperlembagaan.

Begitu juga apabila Malaysia ditubuhkan. Yang muncul ialah bangsa Malaysia. Di dalamnya terdapat pelbagai kaum. Dengan Melayu masih memiliki konsep bangsa Melayu tetapi dalam konteks bangsa Malaysia. Konsep kebangsaan Melayu yang berteraskan kepada kebangsaan Malaysia, kemanusiaan dan Islam tidak bersifat zalim.

Maka apabila disebut kebangsaan Malaysia, keseluruhan jentera pentadbiran awam dan parti politik adalah bersifat kebansgaan, dan bukannya perkauman. Walaupun BN dikatakan didominasi Melayu dan Pakatan Rakyat didokong Cina, itu tidak boleh berlaku dalam konteks kebangsaan Malaysia.

Umno sebagai parti Melayu adalah hasil perkembangan sejarah kerana pada masa dahulu Melayu itu adalah bangsa. DAP jadi parti Cina kerana ia dianggotai majoriti Cina. PAS yang berteraskan Islam tentunya dianggotai orang Melayu. Tetapi semua parti politik di negara ini tidak boleh bersifat perkauman. Semuanya berkhidmat untuk bangsa Malaysia.

Apatah lagi kerajaan. Kerajaan Malaysia bukannya kerajaan Melayu. Walaupun kakitangannya majoriti Melayu tetapi ia berkhidmat untuk bangsa Malaysia. Maka polis bukannya polis Melayu, tetapi polis Malaysia.

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) adalah suruhanjaya Malaysia dan bukannya Melayu. Akhbar arus perdana adalah untuk bangsa Malaysia dan bukannya Melayu. Tidak timbul Melayu asyik mengalah dan Cina dan India terus menang. Semua kes mesti dilihat dari segi keadilan dengan kesaksamaan setiap warganegara sebagai bangsa Malaysia.

No comments: