May 12, 2010

Bantah Keras Lesen Judi Piala Dunia 2010

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Selangor
Parti Keadilan Rakyat

10hb Mei 2010

Bantah Keras Lesen Judi Piala Dunia 2010.

AMK Selangor membantah keras keputusan kerajaan terhadap kenyataan Timbalan Menteri Kewangan,Datuk Awang Adek Hussein untuk membenarkan lesen perjudian sempena Piala Dunia 2010. Malahan dalam kenyataannya di Dewan Negara beliau ada menggunakan frasa ‘atas keprihatinan kerajaan’ jelas membangkitkan perasaan marah rakyat Malaysia.

Kita bertegas menolak sebarang usaha yang tidak bermoral ini yang tidak menggambarkan Malaysia adalah sebuah negara Islam seperti yang dilaung-laungkan selama ini. Malahan masyarakat pelbagai agama dan bangsa juga menolak perjudian pertaruhan ini kerana menjejaskan moral dan akhlak serta membawa masyarakat terjerumus kepada masalah kebejatan yang lain.

AMK Selangor menegaskan jika kebenaran pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 ini diberi, maka akan ada pihak-pihak lain yang akan menggunakan perkara sedemikian di masa hadapan. Justeru sebelum perkara ini menjadi asas untuk merebaknya budaya baru pertaruhan dalam masyarakat Malaysia. Maka perkara ini perlu dikekang sebelum membawa negara ke kancah kerosakan moral dan akal budi yang semakin meruncing.

Sepatutnya kerajaan bertegas dalam soal ini untuk memastikan Malaysia berada di landasan yang sebenar sebagai sebuah negara yang masyarakatnya berkeperibadian tinggi dan luhur . Kita yakin masyarakat Malaysia keseluruhannya tidak dapat menerima kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan tersebut.

AMK Selangor berharap masalah kebejatan akhlak dan moral perlu di ambil perhatian. Kebenaran perjudian pertaruhan Piala Dunia 2010 pastinya menambah lagi kerosakan moral yang semakin gawat kini.Peranan kerajaan adalah mempromosikan kebaikan dan bukan perkara yang merosakkan.


Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor

No comments: