May 6, 2010

Tunggakan lebih 5 tahun tak diterima

SHAH ALAM, 6 Mei – Selangor tidak akan menerima bayaran tunggakan cukai tanah pemilik tanah yang dianugerahkan Kerajaan Negeri terdahulu yang melebihi lima tahun, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat setelah Kerajaan Negeri mendapati ramai pemilik tanah berkenaan seperti pertubuhan kebajikan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta individu ttidak menjelaskan bayaran cukai tersebut walaupun premium ditetapkan adalah rendah.

Menurutnya, satu notis akan dikeluarkan terhadap mereka yang gagal menjelaskan bayaran tersebut sebelum ini di mana mereka perlu memberikan penjelasan kepada Kerajaan Negeri.

“Selepas kita keluarkan notis berkenaan, mereka (pemilik tanah) mungkin akan cepat bayar. Sungguhpun begitu, kita tidak akan terima dahulu bayaran mereka sebelum diteliti oleh Exco.

“Kalau mereka tidak memberikan maklum balas terhadap notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), kita akan ambil tanah terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, sehingga kini Kerajaan Negeri telah menyenaraikan sejumlah 20,000 hektar yang telah dianugerahkan kepada pihak terbabit di seluruh Selangor.

Abdul Khalid berkata, tindakan menghalang mereka melunaskan tunggakan cukai tanah yang melebihi tempoh lima tahun sebelum mendapat kebenaran Exco merupakan susulan keputusan Kerajaan Negeri terhadap pemilik tanah yang gagal membayar cukai dan membangunkan tanah yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri berkuatkuasa 1 Januari 2010.

Keputusan tersebut diambil selepas Kerajaan Negeri mendapati banyak tanah anugerah bukan sahaja tidak dijelaskan cukai tanah tetapi dibiarkan begitu sahaja tanpa pembangunan serta tidak menjelaskan cukai tanah yang telah ditetapkan melebihi lima tahun.- SINAR HARIAN


No comments: