KUALA LUMPUR, 17 Mac: Sebagai rakyat yang turut mempunyai hak dalam negara ini, lebih dua ribu masyarakat Orang Asli, pagi tadi berhimpun di Putrajaya untuk menyerahkan bantahan terhadap Dasar Pemberimilikan Tanah yang dilihat menyentuh terus dengan persoalan kehidupan seharian mereka. Mereka berjaya menyerahkan memorandum bantahan itu melalui Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), Majid Suhud kepada perdana menteri melalui Pegawai Tugas-tugasnya, Datuk Ghazali Ibrahim meskipun pada awalnya separuh daripada mereka berjaya dilencongkan ke destinasi yang tidak dirancang bagi menggambarkan himpunan itu gagal. Sehubungan itu, seorang Aktivis Orang Asli Semenanjung Malaysia, Cik Jenita Engi menafikan kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal yang menyifatkan lebih 2,000 orang asli berhimpun di Putrajaya pagi tadi bukan untuk protes sebaliknya hanya datang 'melawat dan makan-makan sahaja'. Cik Jenita menegaskan, keseluruhan orang asli yang datang ke Putrajaya adalah untuk memberikan sokongan padu kepada tindakan menyerahkan memorandum bantahan oleh POASM kepada perdana menteri berhubung DPT. "Mereka merancang protes ini lebih empat bulan sebelum ini, malah pertemuan dengan menteri itu langsung tidak diketahui oleh mereka yang hadir kerana himpunan ribuan mereka untuk memberikan sokongan padu kepada proses menyerahkan memorandum bantahan kepada perdana menteri. "Ada di kalangan mereka yang datang seawal 9.30 pagi sudah berada di Putrajaya tetapi dilencongkan oleh pihak polis dan meminta mereka berada di dalam auditorium di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama menteri itu," jelasnya lagi. Menurutnya, ramai di antara mereka yang kelihatan sangat terkejut dengan majlis 'tiba-tiba' yang diambilalih oleh menteri berkenaan kerana mereka berkata, 'kami datang bukan untuk makan, kami datang untuk memberikan sokongan kepada bantahan terhadap dasar tanah itu'. Orang ramai sangat kesal dengan sikap menteri itu mengulas mengenai perhimpunan hari ini, sambil tersenyum berkata, mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan 'kita juga bagi mereka makan-makan.' Shafie bercakap dalam perkataan serupa dengan janji-janji kerajaan yang selalu didengar menyebabkan orang asli yang berada dalam dewan sudah naik muak kerana apa yang dipersoalkan, jawapannya adalah sama sahaja, jelas Jenita yang sangat mesra dengan semua pihak media. Ada di antara mereka, jelas Jenita lagi, keletihan kerana Shafie telah 'mengambil masa' mereka sejak jam 10 pagi hingga 1 petang kerana itu ada dalam kalangan mereka tidak mahu makan kerana kecewa dan sangat kecewa, kerana mereka datang untuk sokong protes. "Saya sangat terkilan kerana sebaik selesai majlis itu, staf mereka menjemput kami 'makan free' di dewan makan. Apa maksud mereka dengan makan free? Kami semua masyarakat orang asli bukan datang kerana jemputan kamu tetapi kamu yang menebal muka menjemput kami singgah untuk merasa aircond pejabat kamu. "Apatah lagi bila sahaja masyarakat bertanya soalan, tiada satu jawapan pun yang memenuhi apa yang diharapkan oleh masyarakat, semuanya adalah sama dari dulu. Saya dapat merasakan yang masyarakat seperti dipermainkan oleh pihak-pihak yang langsung tidak mendengar suara yang sebenarnya dari komuniti. "Pemberitahuan di saat-saat akhir boleh membunuh kepercayaan orang ramai jika ini terus berlaku. Bukan sahaja masyarakat orang asli sangat keliru dengan perjalanan protes hari ini tetapi wakil-wakil media juga sangat keliru dengan perubahan pada saat saat akhir tersebut," tegas Jenita lagi yang sangat kesal dengan tipu licik pihak berkenaan. Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Jenita berkata, selepas ini mereka akan adakan perundingan bersama pimpinan Orang Asli untuk melakukan tindakan lanjut ekoran berlaku peristiwa pelencongan oleh menteri berkenaan. Dalam himpunan pagi tadi, sekitar seribu orang dilencongkan ke auditorium dan lebih seribu lagi sudah berada di satu persiaran berhadapan Pejabat Perdana Menteri dengan membawa sepanduk dan kain rentang yang antaranya berbunyi Kami Tidak Bersetuju Dasar Pemberimilikan Tanah Orang Asli, Iktirafkan Wilayah Adat Kami, Hak Kami Selaku Orang Asal Perlu dihormati dan Jangan Hapuskan Akta Kami. Perhimpunan anjuran bersama POASM dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak bertujuan menyuarakan bantahan kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung kandungan dasar berkenaan memandangkan gagal dalam rundingan dengan JHEOA, baru-baru ini. Untuk rekod, dasar tanah itu dikatakan akan dibentangkan di Parlimen pada Jun ini sebagai cadangan pindaan Akta 134 Kanun Tanah Negara dan untuk tujuan sama, pada 24 Februari lalu, mereka mengadakan satu demonstrasi bantahan di hadapan pejabat JHEOA di Gombak. Sekitar jam 2.30 petang tadi, memorandum itu berjaya diserahkan oleh Majid kepada Ghazali yang diiringi tepukan gemuruh mereka yang hadir selepas dimaklumkan memorandum telah berada di tangan pihak berkenaan. Memorandum serupa juga diserahkan kepada Shafie oleh penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Perak, Tijah Yak Chopil yang kandungannya secara umum menuntut supaya dasar pemberimilikan tanah Orang Asli dimansuhkan. |
March 18, 2010
Lebih 2000 Orang Asli Serah Memo Pada PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment